Ekspo Souq Al-Qudwah buka tirai

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Ekspo Souq Al-Qudwah yang diadakan bagi membangun kapasiti dan mengupayakan kemahiran golongan penerima asnaf zakat telah membuka tirainya hari ini di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie.

Perasmian ekspo itu telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, yang juga selaku penghulu Mukim Berakas B; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan isteri; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan isteri; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin selaku timbalan pengerusi Badan Penasihat Shariah, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar.

Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapannya menjelaskan, ekspo yang membawa tema ‘Memperkasa Usahawan Penerima Asnaf Zakat’ itu julung-julung kali diadakan dianjurkan oleh PDI, KHEU dengan kerjasama Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan disokong oleh BIBD.

Ekspo yang akan berlangsung selama empat hari hingga 21 Julai berkenaan diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika memotong reben perasmian Ekspo Souq Al-Qudwah.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika dibawa melawat ke petak-petak pameran.

Ekspo berkenaan juga merupakan usaha dan inisiatif pendekatan seluruh negara dengan kolaborasi pelbagai agensi kerajaan seperti MUIB, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Pusat Bahagia serta disokong BIBD menerusi program persefahaman perkongsian pintar dengan PDI dalam sama-sama berusaha membangun kapasiti dan mengupayakan kemahiran serta menyediakan platform market place dalam sama-sama membantu asnaf mualaf untuk menjadi usahawan berjaya.

Dalam hal ini, tambah Haji Abdul Rajid, PDI melihat Ekspo Souq Al-Qudwah sebagai salah satu platform bagi memberi peluang kapasiti jati diri dalam pengupayaan keusahawanan mandiri dalam kalangan komuniti sasaran iaitu golongan penerima asnaf zakat khususnya asnaf mualaf dan asnaf lain seperti asnaf fakir miskin dan juga dilaratkan kepada penerima bantuan kebajikan dan individu berkeupayaan khas serta para belia yang masih mencari pekerjaan.

Ekspo berkenaan juga sebagai usaha menitikberatkan konsep mindset change dalam golongan penerima zakat dan penerima bantuan kebajikan supaya tidak akan sentiasa terus bergantung kepada agihan wang zakat dan bantuan kebajikan, tetapi menjadikan mereka kepada golongan yang berupaya dan berjaya. Seramai 60 orang usahawan penerima asnaf zakat menyertai ekspo tersebut iaitu 40 orang usahawan terdiri daripada penerima asnaf zakat dan penerima bantuan kebajikan, manakala itu 20 orang lagi usahawan terdiri daripada usahawan di bawah program BIBD SEED kohort pertama dan kohort kedua yang mana mereka ini merupakan ibu-ibu tunggal dan ibu yang kurang berkemampuan.

Majlis perasmian ekspo berkenaan juga telah diselajurkan dengan pelancaran kedai Al-Qudwah dan penubuhan Konsortium Muallafpreneurs yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Kedai tersebut adalah sokongan dan kerjasama yang disumbangkan oleh BIBD. Kedai Al-Qudwah berkenaan diusahakan sendiri oleh usahawan asnaf mualaf yang menjadi ahli gabungan dalam Konsortium Muallafprenuers dan akan membangun perniagaan mereka secara berkelompok yang diusahakan oleh golongan asnaf mualaf dengan harapan akan dapat dipasarkan secara meluas di dalam mahu pun luar negara.

Ekspo Souq Al-Qudwah akan diisikan dan diserikan dengan majlis-majlis ilmu berkaitan keagamaan dan keusahawanan, pameran-pameran daripada BIBD, toko-toko buku, agensi penerbangan dan aktiviti-aktiviti seperti pertandingan azan dan membaca sayyidulistighfar dan sebagainya dengan beberapa hadiah menarik berupa tiket penerbangan tajaan Titian Travel akan diberikan bagi pengunjung-pengunjung bertuah. Majlis juga diselajurkan dengan penyerahan sijil agihan bantuan dana zakat kepada sembilan orang peserta BIBD SEED Kohort-1, tahun 2018, yang mana setiap peserta akan menerima bantuan sebanyak $5,000 untuk memulakan perniagaan. Bantuan kewangan berkenaan diambil daripada peruntukan Dana Zakat BIBD.