Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Tarindak D’Seni dan Tarindak D’Polo meneruskan agendanya dalam memeriahkan Ramadan dan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan Ekspo Jualan Produk Kraf Tangan di premisnya di sini, hari ini.
Ekspo itu, yang diadakan di Dewan Serambi Batil Tingkat 1, Tarindak D’Seni, berlangsung selama hampir dua minggu.
Ketika ditemui hari ini, jurucakap ekspo, Hajah Noorhaya binti Haji Awang menegaskan antara tujuan ekspo itu diadakan adalah untuk menyediakan petak jualan khususnya untuk peniaga tempatan untuk berniaga, terutama sekali para peniaga online dan belia yang masih baru dalam dunia perniagaan supaya lebih aktif mencari sumber pendapatan mereka.
“Selain itu ia juga memberikan kemudahan bagi penduduk yang tinggal berhampiran untuk berkunjung berbuka puasa di Tarindak sambil membeli-belah untuk persiapan Hari Raya,” tegasnya.
Menurutnya lagi, ekspo itu mengutamakan produk-produk yang dikeluarkan oleh ahli Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan seperti barangan kain tenunan tempatan, tudung-tudung batik eksklusif, kain batik, baju batik dan songkok.

“Selain itu, di sini turut menampilkan produk makanan dan kuih-muih Hari Raya daripada peniaga-peniaga tempatan sendiri seperti kek lapis Brunei, biskut, kuih mor dan sebagainya,” ujarnya lagi.
“Saya percaya lokasi ini sangat sesuai dan bersifat menyeluruh kerana dengan kemudahan letak kereta yang boleh memuatkan sebanyak 500 kenderaan, surau bagi lelaki dan perempuan juga ada tersedia berhampiran dengan ekspo berlangsung menjadikan hari pengunjung lebih mudah,” katanya sambil tersenyum.
Antara tarikan lain di ekspo itu adalah cabutan bertuah bagi pelanggan bertuah yang berpeluang membawa pulang sebuah kereta Mitsubishi Attrage, pakej umrah dan peralatan elektrik dan elektronik yang bakal diterima pada hari terakhir ekspo itu nanti.