Ekspo tumpu usaha perkukuh kerjasama sumber tenaga rendah karbon

BEIJING, 16 OGOS – Ekspo China-Negara Arab dan Sidang Kemuncak Kerjasama China-Negara Arab (CASCF) kali kelima akan menumpukan kepada kerjasama dalam bidang sumber tenaga, sejajar dengan usaha global dalam revolusi sumber tenaga serta perkembangan industri hijau dan rendah karbon.

Ekspo dan CASCF dijadualkan diadakan pada 19 hingga 22 Ogos di Yinchuan, wilayah Ningxia China.

Sepanjang berlangsungnya ekspo dan sidang kemuncak itu, peserta akan membincangkan mengenai peluang memperdalam kerjasama China-Arab berkaitan pelepasan karbon dioksida dan status karbon neutral.

Sidang kemuncak itu juga akan membincangkan mengenai teknologi aplikasi sumber tenaga bersih, ekonomi rendah karbon dan transformasi sumber tenaga.

Selain itu, usaha memperluaskan kerjasama China dan negara Arab dalam pelbagai bidang termasuk tenaga suria, angin, nuklear dan hidrogen turut menjadi agenda perbincangan selain usaha sama berkaitan minyak dan gas asli Naib pengarah Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Wilayah Ningxia, Wang Hanwu berkata, kelebihan China dan negara Arab dalam bidang pasaran, teknologi dan sumber tenaga akan dimanfaatkan bagi memperkasa kerjasama kedua-dua pihak dalam minyak, gas asli, dan sumber tenaga rendah karbon.

“Selain meningkatkan kerjasama dalam bidang tenaga suria, tenaga angin, tenaga hidroelektrik dan penggunaan tenaga nuklear secara damai, kedua-dua pihak juga akan menggalakkan usaha mengkomersialkan tenaga hidro dan tenaga terkumpul bagi pembentukan paradigma baharu kerjasama,” katanya pada sidang media di sini, kelmarin.

Mengulas mengenai ekspo kali ini, beliau berkata pameran bahan baharu sumber tenaga bersih akan diadakan secara fizikal dan maya untuk mempromosikan produk dan teknologi baharu sumber tenaga bersih yang meliputi tenaga alternatif, tenaga terkumpul dan tenaga nuklear.

Peserta daripada 28 negara dilaporkan akan mengambil bahagian dalam ekspo kali ini, manakala sebanyak 29 syarikat akan mempamerkan produk masing-masing secara dalam talian. – Bernama