Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Eksport Brunei meningkat 62.8 peratus

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Jumlah eksport Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak 62.8 peratus daripada $9,121.8 juta pada 2020 kepada $14,854.8 juta pada 2021.

    Peningkatan itu adalah disebabkan kenaikan indeks nilai unit eksport sebanyak 50.1 peratus yang disumbangkan oleh peningkatan indeks bahan api galian iaitu +52.3 peratus, bahan kimia iaitu +46.2 peratus dan makanan +21 peratus, yang mencerminkan kenaikan harga produk-produk berkenaan di pasaran dunia.

    Perangkaan itu dikongsi oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, menerusi laporan baharu yang dikeluarkan buat pertama kali, Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) bagi 2021.

    Indeks volum eksport pula menurun sebanyak 10.9 peratus pada 2021 berbanding 2020, disebabkan penurunan indeks volum eksport bahan kimia iaitu -24.1 peratus. jentera dan kelengkapan pengangkutan -17.8 peratus, bahan mentah tidak boleh dimakan -11.6 peratus dan bahan galian api -10.7 peratus.

    Penurunan indeks volum eksport berkenaan menunjukkan penurunan jumlah kuantiti barang-barang yang dieksport ke luar negara.

    Jumlah import pada 2021, meningkat 57 peratus disebabkan peningkatan indeks nilai unit import sebanyak 4.3 peratus. Kenaikan indeks nilai unit import disumbangkan oleh indeks bahan api galian +46.2 peratus, indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran +14.1 peratus serta indeks pelbagai barang keluaran kilang +11.5 peratus.

    Peningkatan indeks nilai barangan itu mencerminkan kenaikan harga bagi barang-barang berkenaan dari pasaran luar.

    Indeks volum import menurun sebanyak 12.5 peratus pada 2021 berbanding 2020. Penurunan itu terutamanya disebabkan volum import yang rendah bagi indeks jentera dan kelengkapan pengangkutan iaitu -27.1 peratus, barang-barang keluaran kilang -26.2 peratus serta bahan api galian -10.8 peratus.

    Terma perdagangan bagi Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan peningkatan 43.9 peratus pada 2021, yang mencerminkan nilai unit barangan eksport adalah lebih tinggi berbanding dengan nilai unit barangan import.

    Penyumbang utama pertumbuhan positif berkenaan adalah daripada bahan kimia sebanyak 37.3 peratus.

    Terma perdagangan adalah ukuran kuasa beli eksport dan import Negara Brunei Darussalam ke luar negara dan dari luar negara. Laporan IMTI seterusnya akan dikeluarkan secara suku tahunan bermula suku pertama 2022.

    Penerbitan laporan itu adalah mengikut amalan antarabangsa yang disyorkan oleh Bahagian Statistik, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

    IMTI mengukur perubahan tahap nilai unit dan volum barangan eksport dan import antara Negara Brunei Darussalam dan rakan perdagangan di seluruh dunia dan dapat membantu penggubal dasar bagi menilai faktor-faktor yang menyumbang kepada prestasi perdagangan negara.

    Indeks berkenaan menunjukkan trend nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu. Ia juga boleh digunakan dalam menganalisis daya saing negara, mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...