Eksport China kukuh, meningkat AS$300 bilion

BEIJING, 7 NOV – Eksport China kekal kukuh pada Oktober, tanda positif untuk ekonomi yang berusaha mengatasi kekurangan bekalan elektrik dan wabak COVID-19.

Agensi kastam negara berkata hari ini eksport berjumlah AS$300.2 bilion, meningkat 27.1 peratus berbanding setahun lalu. Ia berkurangan daripada pertambahan 28.1 peratus pada September tetapi masih memberangsangkan. Import mencecah AS$215.7 bilion, peningkatan sebanyak 20.6 peratus.

Eksport dan import adalah lebih tinggi berbanding setahun lalu, apabila sebahagian besar dunia dilanda pandemik COVID-19, tetapi timbulnya kebimbangan bahawa krisis ekonomi akan menghambat pertumbuhan. Ekonomi kedua terbesar dunia berkembang 4.9 peratus dalam tempoh tiga bulan berakhir September, merosot daripada 7.9 peratus dalam suku sebelumnya.

Lebihan dagangan China pada Oktober berjumlah AS$84.5 bilion, meningkat daripada AS$66.8 bilion pada bulan sebelumnya, kata agensi kastam. Lebihan dengan AS berkurangan kepada AS$40.7 bilion, berbanding dengan AS$42 bilion pada September. Dengan Kesatuan Eropah, ia berjumlah AS$25.9 bilion.

China dan Amerika Syarikat (AS) dibelenggu dalam perang perniagaan yang wujud sejak pentadbiran bekas Presiden Donald Trump. AS mengenakan tarif ke atas produk China, dan China bertindak balas dengan tarif ke atas produk AS. Wakil Perdagangan AS Katherine Tai berkata pada bulan lalu beliau merancang mengadakan rundingan dengan rakan sejawatan China berhubung perselisihan mereka.

Ekonomi China telah dilindungi oleh sekatan berkaitan COVID-19 oleh kerajaan, yang telah menjejas perjalanan domestik dan permintaan pengguna, dan masalah bekalan elektrik telah mengurangkan pengeluaran kilang. Badan pengawal selia juga bertindak keras ke atas pemaju hartanah yang dibebani hutang, justeru memperlahankan pasaran perumahan. – AP

Pegawai pemeriksaan imigresen China berjalan berhampiran kapal kontena di pelabuhan Qingdao di timur wilayah Shandong, China kelmarin. Eksport China kekal kukuh pada Oktober, meningkat 27.1 peratus kepada AS$300.2 bilion. – AP