Eksport halal Malaysia dijangka berkembang

PETALING JAYA, 17 Dis – Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) menjangka eksport produk halal Malaysia berkembang kepada RM50 bilion menjelang 2020, dipacu oleh permintaan baharu daripada pasaran antarabangsa.

Naib Presiden Pembangunan Industri HDC Hanisofian Alias berkata pertumbuhan ini dijangka boleh dicapai memandangkan peningkatan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia dan lebih ramai orang bukan Islam yang menggunakan produk halal sebagai sebahagian daripada kehidupan yang sihat dan bersih.

“Eksport halal kita berjumlah RM43 bilion pada 2017 dan saya yakin kita akan dapat mencecah paras RM50 bilion pada akhir 2020.

“Banyak negara bukan Islam menyedari potensi yang belum dimanfaatkan dalam pasaran halal dan kini berlumba-lumba untuk melaksanakannya sekali gus menyediakan peluang perniagaan dan eksport kepada kita kerana Malaysia sentiasa menjadi penanda aras dalam pengeluaran dan persijilan halal,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan kerjasama tiga pihak dengan ARLA Foods amba, di sini, hari ini.

Pada peringkat awal kerjasama itu, Hanisofian berkata, HDC akan menyediakan perkhidmatan nasihat pakar dan menawarkan perkhidmatan perundingan dan latihan halal seperti yang dikehendaki oleh Arla dan ARK, penasihat halal Arla.

“Ini merupakan kerjasama jangka panjang antara tiga pihak, dari segi perkongsian pengetahuan dan pemasaran produk.

“HDC memainkan peranan dalam membantu Arla mengemudi perubahan dasar di Malaysia serta di Asia Tenggara. Ini penting kerana bagi Malaysia sahaja, Arla mengeksport produk bernilai lebih RM30 juta pada 2017,” katanya. – Bernama