Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Eksport, import Mei 2023 menurun

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Jumlah perdagangan pada bulan Mei 2023 mencatatkan sebanyak $1,745.8 juta, penurunan sebanyak 41.2 peratus, daripada $2,966.9 juta pada Mei 2022.

    Penurunan itu disebabkan oleh penurunan nilai eksport sebanyak 42.3 peratus daripada $1,869.3 juta kepada $1,078.5 juta. Nilai import juga menurun sebanyak 39.2 peratus daripada $1,097.6 juta kepada $667.3 juta.

    Penurunan nilai eksport terutamanya dido-rong oleh nilai eksport minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan lain-lain produk petroleum khususnya bahan api diesel automatif, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dalam kenyataan mengenai Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) Mei 2023, yang dikeluarkan hari ini.

    Sementara itu, penurunan nilai eksport minyak mentah adalah disebabkan oleh penurunan jumlah isi padu sebanyak 38.8 peratus dan harga eksport sebanyak 32.6 peratus.

    Bagi LNG, penurunan adalah juga disebabkan oleh penurunan jumlah isi padu sebanyak 13.4 peratus dan harga eksport sebanyak 37.7 peratus.

    Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama eksport Negara Brunei Darussalam iaitu sebanyak 74.3 peratus, diikuti dengan bahan kimia (22.1 peratus) dan jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.8 peratus).

    Lima komoditi import utama pada bulan Mei 2023 adalah bahan api galian (63.2 peratus), diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (12.3 peratus), makanan (8.2 peratus), barang-barang keluaran kilang (5.8 peratus) dan bahan kimia (5.0 peratus).

    Pasaran eksport utama pada bulan Mei 2023 adalah China (22.7 peratus), diikuti oleh Australia (20.6 peratus) dan Singapura (15.1 peratus). Komoditi eksport terbesar adalah bahan kimia dan bahan api galian.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Emiriah Arab Bersatu (21.6 peratus), diikuti oleh China (16.9 peratus) dan Qatar (16.8 peratus), dengan bahan api galian sebagai komoditi import terbesar.

    Sebanyak 65.2 peratus import adalah digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan, diikuti oleh barangan modal (31.0 peratus) bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan (3.8 peratus) bagi kegunaan isi rumah.

    Sebanyak 94.6 peratus jumlah perdagangan dihantar melalui pengangkutan laut. Ini diikuti oleh pengangkutan udara (3.6 peratus) dan melalui darat (1.8 peratus).

    Bagi perubahan bulan-ke-bulan, berbanding bulan April 2023, jumlah perdagangan meningkat sebanyak 24.6 peratus disebabkan oleh peningkatan jumlah eksport sebanyak 41.6 peratus dan jumlah import sebanyak 4.3 peratus.

    Laporan IMTS bagi bulan Mei 2023 adalah mengikut Klasifikasi ASEAN Harmonized Tariff Nomenclature 2022 (AHTN 2022) yang boleh didapati melalui laman sesawang JPES.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Banjir kilat bunuh 8, 23 askar hilang

    NEW DELHI, 5 OKT - Hujan lebat secara tiba-tiba mencetuskan banjir kilat kelmarin di timur laut India yang membanjiri beberapa bandar, menghanyutkan sebuah jambatan...