Eksport kimia Brunei meningkat 20.5 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Negara Brunei Darussalam mencatatkan nilai jumlah perdagangan sebanyak $1,302.8 juta, meningkat sebanyak 0.9 peratus daripada $1,290.7 juta pada bulan yang sama dalam tahun 2019.

Manakala, bagi perubahan bulan-kebulan, jumlah perdagangan bagi bulan Mei 2020 meningkat sebanyak 13.9 peratus berbanding dengan bulan April 2020.

Menurut satu kenyataan yang diterima, jumlah eksport meningkat sebanyak 20.5 peratus tahun-ketahun kepada $865.2 juta berbanding $718.1 juta pada Mei 2019 disebabkan oleh peningkatan eksport bahan kimia daripada $20.7 juta pada Mei 2019 kepada $235.2 juta pada Mei 2020. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh pengeluaran baharu produk kimia daripada aktiviti hiliran.

Namun yang demikian, eksport bahan api galian pada bulan Mei 2020 telah menunjukkan penurunan selaras dengan penurunan eksport minyak mentah dan gas cecair asli disebabkan oleh penurunan jumlah isi padu dan purata harga.

Sementara itu, pasaran eksport terbesar bagi Negara Brunei Darussalam pada bulan Mei 2020 adalah Republik Rakyat China (36.2 peratus) diikuti oleh Jepun (20.3 peratus) dan Singapura (17.4 peratus).

Dari segi komoditi eksport, bahan api galian merupakan penyumbang utama sebanyak 70.9 peratus diikuti dengan kimia (27.2 peratus) dan pelbagai urus niaga (0.7 peratus).

Manakala, jumlah import menurun sebanyak 23.6 peratus tahun-ke-tahun kepada $437.6juta.

Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan (37.3 peratus) diikuti oleh bahan api galian (14.6 peratus), kimia (13.7 peratus), barang-barang keluaran kilang, dan makanan (masing-masing 12.6 peratus).

Selain itu, berdasarkan import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Malaysia (26.5 peratus) diikuti oleh Singapura dan Republik Rakyat China (masing-masing 12 peratus).

Dari segi barangan perdagangan mengikut mod pengangkutan pada bulan Mei 2020, mod pengangkutan laut mencatatkan jumlah terbesar iaitu sebanyak $1,219.4 juta.

Ini diikuti oleh mod pengangkutan udara iaitu sebanyak $66.7 juta dan pengangkutan darat sebanyak $16.7 juta.

Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi bulan Mei 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.