Eksport mi segera Korea Selatan meningkat

SEOUL, 21 DIS – Eksport mi segera Korea Selatan melonjak lebih 28 peratus dalam 11 bulan pertama tahun ini di tengah-tengah pandemik COVID-19, menurut data hari ini.

Penghantaran mi segera ke luar negara, atau ‘ramyeon’ dalam bahasa Korea, mencecah AS$549.72 juta pada Januari-November, meningkat 28.4 peratus dari tahun sebelumnya, menurut data Perkhidmatan Kastam Korea dan pemain industri.

Ia jauh melebihi jumlah eksport tahun lalu sebanyak AS$467 juta, lapor agensi berita Yonhap. Lonjakan itu disebabkan populariti global mi segera buatan Korea sebagai makanan darurat ketika semua orang berada di rumah berikutan kawalan pergerakan COVID-19.

Turut menyumbang ialah penghantaran ke luar negara Chapaguri dalam jumlah yang besar, iaitu sejenis hidangan mi dari filem ‘Parasite’ yang memenangi Oscar dan campuran Chapaghetti, mi kacang hitam segera, dan Neoguri, mi udon Korea yang pedas.

China adalah pasaran luar negara terbesar dalam tempoh 11 bulan, dengan eksport mencapai AS$138.56 juta, atau 25.2 peratus daripada jumlah keseluruhan. Diikuti Amerika Syarikat AS$72.84 juta, Jepun AS$44.98 juta, Thailand AS$24.66 juta dan Filipina AS$22.37 juta. Eksport mi segera Korea Selatan meningkat kepada AS$470 juta tahun lalu, meningkat daripada AS$410 juta pada 2018 dan AS$380 juta pada 2017. – Bernama