PONTIAN, 7 Mei – Pencapaian eksport negara pada Mac melepasi paras RM80 bilion yang merupakan satu rekod tertinggi bulanan pernah dicatatkan sejak Merdeka adalah bukti kesungguhan kerajaan Barisan Nasional dalam mempromosikan barangan Malaysia di luar negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata pencapaian itu sekaligus menolak dakwaan pembangkang bahawa tiada lagi orang yang mahu membeli barangan Malaysia kerana nama negara yang disifatkan sebagai “buruk”.
“Eksport Mac telah melonjak ke satu paras yang belum pernah berlaku, mencecah tanda aras RM80 bilion sebulan eksport.
“Eksport yang meningkat ini membuktikan bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh pucuk pimpinan terutamanya (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak yang pergi membawa nama Malaysia ke mana-mana yang beliau pergi, sama ada di peringkat Asean, Eropah, Timur Tengah, Jepun, Korea Selatan, China dan seluruhnya akhirnya menjadi satu kesan positif terhadap permintaan barangan negara kita,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Guru Guru Agama Negeri Johor Daerah Pontian di Benut, dekat sini hari ini.
Menurut Ahmad, pencapaian itu juga adalah hasil usaha agensi di bawah MITI seperti Matrade dan lain-lain yang juga tidak berhenti mempromosikan barangan Malaysia melalui pejabat-pejabat mereka di luar negara. – Bernama