Eksport nov cecah $1 bilion

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Jumlah eksport pada November 2019 telah melebihi $1 bilion buat pertama kali sejak tahun 2014 yang mana ia mengambil kira eksport terbaharu, produk petroleum dan gas hasil daripada aktiviti hiliran sebagai salah satu sumbangan utama bagi eksport.

Eksport meningkat sebanyak 44.5 peratus tahun-ke-tahun kepada $1,113.9 juta berbanding $771.1 juta pada November 2018 dan ini adalah disebabkan oleh peningkatan eksport bahan api galian sebanyak 50.1 peratus tahun-ke-tahun.

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan hari ini turut menjelaskan, peningkatan tersebut terutamanya disumbangkan oleh produk petroleum dan gas berjumlah $279.2 juta dan ini juga didokong oleh peningkatan eksport minyak mentah sebanyak 27.8 peratus berikutan peningkatan eksport isi padu daripada 98.9 ribu tong sehari pada November 2018 kepada 131,300 tong sehari pada November 2019.

Manakala, jumlah import meningkat sebanyak 81.4 peratus tahun-ke-tahun kepada $973.2 juta dipacu oleh import bahan api galian selaras dengan aktiviti hiliran.

Secara keseluruhan, jumlah perdagangan Negara Brunei Darussalam pada November 2019 meningkat 59.6 peratus kepada $2,087.1 juta berbanding November 2018.

Lima komoditi import utama pada bulan ini adalah bahan api galian iaitu 62.2 peratus diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan pula mencatat 17.1 peratus, barang-barang keluaran kilang, 8 peratus, makanan mencatat 5.1 peratus dan pelbagai barang keluaran kilang, 3.7 peratus.

Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, import barang perantaraan merangkumi 58.5 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal, 37.5 peratus dan barang penggunaan mencatat 4 peratus.

Sementara pasaran eksport terbesar bagi Negara Brunei Darussalam pada bulan November 2019 adalah Singapura (26.2 peratus) diikuti oleh Jepun (22.8 peratus) dan Republik Rakyat China (13.5 peratus).

Dari segi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Emiriah Arab Bersatu (13.9 peratus) diikuti oleh Nigeria (9.6 peratus) dan Kazakhstan (9.2 peratus).

Perangkaan Perdagangan Ba-rangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi bulan November 2019 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di www.deps.gov.bn.