Eksport sarung tangan getah M’sia meningkat

KUALA LUMPUR, 9 SEPT – Pengeksportan sarung tangan getah keluaran Malaysia telah meningkat kepada RM15.06 billion bagi tempoh Januari sehingga Julai 2020 berbanding RM10.03 billion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019, ia mencatatkan peningkatan sebanyak 50.1 peratus, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata kenaikan itu disebabkan permintaan yang tinggi dan usaha dilakukan kerajaan untuk membantu industri sarung tangan getah, jumlah permintaan global sarung tangan getah dianggarkan berjumlah 330 billion unit pada tahun 2020 manakala pengeluaran dari Malaysia untuk pasaran eksport dijangka berjumlah 220 billion unit atau sebanyak 67 peratus syer daripada permintaan global.

“Ini merupakan peluang baik untuk negara memperkukuhkan jenama dan keyakinan terhadap produk Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Idris Ahmad, yang ingin tahu mengenai usaha dan tindakan kerajaan untuk mengambil peluang di dalam sektor pembuatan serta penghasilan sarung tangan getah yang dilihat semakin rancak semenjak penularan COVID-19, menjadikannya sebagai antara sumber pendapatan negara.

Lim berkata untuk mengambil peluang di dalam sektor pembuatan serta penghasilan sarung tangan getah yang rancak berkembang, kerajaan akan menggalakkan industri sarung tangan getah untuk membuat pelaburan semula atau pelaburan tambahan menerusi Skim Galakan Elaun Pelaburan Semula Khas (EPS Khas) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). – Bernama