Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Pada suku tahun pertama 2022, jumlah eksport meningkat sebanyak 55.3 peratus berbanding suku pertama tahun sebelumnya, iaitu daripada $2,825.9 juta pada suku tahun pertama 2021 kepada $4,388.2 juta pada suku pertama tahun ini.
Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, peningkatan ini adalah disebabkan oleh kenaikan indeks nilai unit eksport sebanyak 59.7 peratus.
Ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan indeks minuman (+82.1 peratus), bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan (+68.9 peratus) dan bahan api galian (+61.8 peratus).
Kenaikan harga produk-produk tersebut di pasaran dunia adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan indeks nilai eksport bagi suku pertama tahun 2022.
Sementara itu, indeks volum eksport pula mencatatkan penurunan sebanyak 5.8 peratus berbanding suku tahun pertama 2021 yang mana disumbangkan oleh penurunan indeks volum eksport bahan-bahan mentah tidak boleh dimakan seperti baja mentah (-24.0 peratus), minuman (-12.8 peratus) dan bahan api galian (-6.3 peratus).
Penurunan indeks ini menunjukkan penurunan jumlah kuantiti barang-barang yang dieksport ke luar negara.
Menurut kenyataan itu lagi, jumlah nilai import pada suku tahun pertama 2022 meningkat sebanyak 29.5 peratus berbanding suku pertama tahun 2021 yang disebabkan oleh kenaikan indeks nilai unit import sebanyak 3.2 peratus.
Peningkatan indeks nilai import ini terutamanya disumbangkan oleh indeks bahan api galian (+51.6 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+28.1 peratus) dan bahan-bahan kimia (+20.8 peratus), yang menunjukkan kenaikan harga bagi barangan tersebut di negara-negara pembekal.
Di samping itu, indeks volum import menurun sebanyak 7.8 peratus pada suku tahun pertama 2022 yang mana penurunan ini disebabkan terutamanya oleh volum import yang rendah bagi barang-barang keluaran kilang (-33.8 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (-15.4 peratus) serta pelbagai barang keluaran kilang (-6.5 peratus).
Terma perdagangan bagi negara telah mencatatkan peningkatan sebanyak 54.8 peratus pada suku tahun pertama 2022 berbanding suku pertama tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan indeks minuman sebanyak 99.4 peratus.
Pertumbuhan terma perdagangan ini mencerminkan bahawa nilai unit barangan eksport negara adalah lebih tinggi berbanding dengan nilai unit barangan import.
Terma perdagangan adalah ukuran kuasa beli eksport dan import Negara Brunei Darussalam ke luar negara dan dari luar negara.
Indeks Perdagangan Bara-ngan Antarabangsa (IMTI) mengukur perubahan tahap nilai unit dan volum barangan eksport dan import antara Negara Brunei Darussalam dan rakan perdagangan di seluruh dunia dan dapat membantu penggubal dasar bagi menilai faktor-faktor yang menyumbang kepada prestasi perdagangan negara.
Indeks ini juga boleh digunakan dalam menganalisis daya saing negara, mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara.
Laporan penuh IMTI bagi suku tahun pertama 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES iaitu https://deps/mofe.gov.bn.