Ekspresikan kreativiti menerusi pembuatan kek

Oleh Nurdiyanah R.

Menghias kek ibarat menghasilkan sebuah lukisan kerana kek belum dihiasi umpama kanvas yang kosong, memerlukan keindahan daya dekorasi untuk memastikan ia daripada biasa-biasa sahaja kepada kek luar biasa.

Setiap sentuhan diadun dan direka dengan curahan kasih sayang. Lembut beralun gerakan tangannya melarikkan beg piping sambil memicit perlahan kantung yang berisi aising supaya bentuk yang terhasil menjadi indah.

Ia diserikan lagi dengan gabungan dekorasi sebagai sentuhan terakhir yang menjadikan kek itu terhias sehingga mampu memukau mata yang memandangnya serta memikat selera.

Siapa sangka, hanya dengan keinginan kuat untuk mencuba pelbagai resepi dan teknik yang sedang ‘trending’ dari laman YouTube atau laman maya sahaja suatu ketika dahulu telah menjadikan Dayang Nur Qistina binti Haji Ahmad sebagai usahawan pembuatan kek yang semakin dikenali dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Dalam meniti dunia pembuatan kek ini, tiada yang membahagiakan hati saya selain dapat menyaksikan kegembiraan di mata para pelanggan yang begitu teruja menepati cita rasa rekaan kek yang mereka impikan untuk insan-insan tersayang. Segala kepenatan yang dirasai selama ini terhapus begitu saja,” begitulah insan berjiwa kreatif ini dalam melayari bidang seni pembuatan kek sejak berusia 15 tahun lagi semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

Setiap sentuhan diadun dan direka dengan curahan kasih sayang, melahirkan kek-kek yang pelbagai untuk sambutan seperti hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan penghargaan hasil air tangan Dayang Nur Qistina.
Siapa sangka, Dayang Nur Qistina kini berjaya membuat sendiri pelbagai kek menarik selepas mencuba pelbagai teknik dan resipi dari laman YouTube.
Tema-tema menarik juga diketengahkan oleh Dayang Nur Qistina dalam menghasilkan sentuhan kreativiti kek cawan untuk para pelanggan yang dikasihi.
ATAS & BAWAH : Pelbagai saiz kek yang dihasilkan oleh Dayang Nur Qsitina bermula dari 5 inci hingga 10 inci, lebih-lebih lagi dengan sentuhan kreativiti indah.

Terciptanya pelbagai pilihan cita rasa

Dayang Nur Qistina menjalankan perniagaan online dengan nama Sugarkissed ini menjelaskan bahawa pelbagai saiz kek yang dihasilkan bermula dari 5 inci hingga 10 inci dan begitu juga dengan variasi pilihan saiz kek cawan (cupcakes).

Antara perisa yang tersedia ialah vanilla, red velvet, salted caramel dan juga perisa lain tertakluk tempahan istimewa daripada para pelanggannya. Namun jenis kek coklat dan ganache coklat merupakan salah satu pilihan yang semakin mendapat sambutan yang menggalakkan.

Dalam pada itu, beliau juga mengetengahkan tempahan dengan tema-tema tertentu mengikuti cita rasa seseorang sempena sambutan hari jadi, ulang tahun perkahwinan, konvokesyen dan juga sebagai penghargaan.

“Syukur kepada Allah SWT di atas limpahan rezeki ini. Semuanya kerana minat yang mendalam dalam bidang pembuatan kek, itulah yang memberikan keberanian kepada saya menceburi dunia perniagaan sehingga kini,” katanya dengan penuh ketulusan yang sememangnya mula terinspirasi dalam menceburi bidang berkenaan setelah melihat hasil sentuhan istimewa biskut Meringues oleh kakak beliau suatu ketika dahulu.

Merealisasikan kenangan terindah

Usahawan wanita yang kini berusia 24 tahun ini menyatakan apa yang pasti dalam meniti dunia perniagaan ini mestilah sentiasa menyemai sifat sabar dalam diri dan jadikanlah setiap cabaran dalam menghasilkan setiap tempahan itu sebagai pencetus semangat juang dari semasa ke semasa.

Di samping itu, beliau turut menitikberatkan daya kreativiti dan keunikan dalam mempelbagaikan pembuatan kek yang menarik demi merealisasikan kenangan terindah para pelanggan yang dikasihi.

“Lebih menyeronokkan lagi, dalam menghasilkan sentuhan dalam bidang sebegini, kita dapat menghasilkan gaya kreativiti dan inovasi yang tersendiri seperti mempelbagaikan perisanya dan juga rekaan bentuknya serta diserikan lagi dengan warna yang indah. Inilah yang menjadikannya lebih istimewa serta unik sehingga mampu mencetus trademark yang tersendiri.”

“Sudah semestinya kebersihan dari segala aspek tertentu meliputi bahan-bahan resepi termasuklah ramuan yang segar dan begitu juga penggunaan perkakas serta kebersihan diri perlu dititikberatkan.

“Hal ini amat penting dititikberatkan agar kualiti kebersihan makanan sentiasa terjamin untuk para pelanggan dari masa ke semasa,” ujarnya lagi yang turut memiliki impian untuk memiliki sebuah kedai pembekal bakeri dan juga mengadakan kelas-kelas kemahiran bidang pembuatan kek.

Teruslah bangkit

Walaupun terlalu ramai persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun usahawan wanita yang bersemangat tinggi ini yakin dan percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.

“Apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan dari titik peluh selama ini. Oleh itu perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba.

“Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit.

“Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam erti kata lain setiap usaha yang kita perlukan pasti akan membuahkan hasil apabila tiba masanya nanti.

Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkanNya” nasihat Dayang Nur Qistina dengan penuh keyakinan kepada masyarakat di negara ini khususnya golongan belia semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.