Ekuiti asia berpotensi untuk catat aliran meningkat

KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Ekuiti Asia, termasuk saham-saham Malaysia berpotensi untuk mencatat aliran peningkatan didorong oleh faktor seperti pulangan bon yang rendah, peningkatan semula pendapatan korporat serta jangkaan penyusutan dolar AS, demikian menurut Standard Chartered.

Ketua Strategi Pendapatan Tetap, Tukaran Asing dan Pelaburan Komoditi bank itu, Manpreet Gill berkata pemacu lain bagi kemungkinan peningkatan itu adalah usaha bank-bank pusat untuk menampan pulangan bon yang rendah itu.

“Jangkaan peningkatan pendapatan korporat, tidak kiralah di negara mana (di rantau Asia) yang kami tinjau, adalah kitaran yang sama bagi pasaran ekuiti. Kami mendapati pendapatan berkenaan telah susut secara ketara (sebelum ini) tetapi keadaan sudah mulai reda.

“Kami berpendapat, apabila pendapatan itu sudah pulih, ini akan menyaksikan aliran kenaikan seterusnya untuk saham-saham Asia,” katanya pada sidang media secara maya mengenai Unjuran Pasaran Global Bagi Separuh Kedua 2020 Standard Chartered hari ini.

Standard Chartered turut menilai ekuiti-ekuiti bagi negara Asia (tidak termasuk Jepun) yang secara relatifnya menarik berbanding ekuiti global dari sudut pertumbuhan, rangsangan dasar dan kedudukannya dan disifatkan sebagai pilihan bagi tempoh 12 bulan.

Malah, kata Manpreet, bank itu juga melihat dolar AS semakin lemah yang akan hanya memberi sokongan aliran modal ke dalam pasaran sedang membangun (EM).

“Berbanding ekuiti-ekuiti lain, kami percaya EM Asia berada pada kedudukan lebih baik untuk mendapat manfaat susulan kelemahan dolar AS tersebut. Bagi bon EM, perolehan tukaran asing paling sederhana pun berkemungkinan besar memadai untuk bon tukaran asing tempatan mencatat prestasi lebih baik berbanding dolar AS dan yang setara, akibat pulangan lebih rendah,” katanya. – Bernama