Ekuiti Asia pulih, dolar rendah

HONG KONG, 11 JULAI – Pasaran Asia hari ini pulih manakala dolar pula mengalami kerugian selepas ketua Rizab Persekutuan AS (FED) hanya memberi bayangan jaminan pengurangan kadar faedah bulan ini.

Pada hari pertama keterangan kongres yang mencuri perhatian ramai, Jerome Powell mengatakan kes bagi kos pinjaman rendah ‘sudah mengukuh’ kerana hala tuju perdagangan global yang tidak pasti.

Komen itu mencetuskan kelegaan yang amat diperlukan di bursa-bursa saham di seluruh dunia, selepas kerugian teruk pada permulaan minggu dalam reaksi terhadap laporan pekerjaan AS yang menyuramkan harapan bagi pengurangan kadar lebih besar dalam mesyuarat dasar FED seterusnya.

Ekuiti AS meningkat, dengan Nasdaq menamatkan perdagangan pada rekod tinggi dan dolar AS didagang rendah dan trend itu berterusan ke Asia. Hong Kong mencatatkan kenaikan satu peratus dan Shanghai menambah 0.6 peratus, manakala Tokyo mengakhiri sesi dagangan pagi 0.4 peratus lebih tinggi.

Seoul pula naik 1.2 peratus, Sydney naik 0.2 peratus, Singapura meningkat 0.8 peratus dan Taipei pula mencatatkan keuntungan 0.4 peratus. Manila, Wellington dan Jakarta juga beralih ke dagangan positif. – AFP