‘El Chapo’ dipenjara seumur hidup

NEW YORK, 18 JULAI – Para hakim Amerika Syarikat (AS) telah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas Raja Dadah Mexico Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, lapor agensi berita China Xinhua berdasarkan satu perbicaraan mahkamah pada Rabu.

Hakim Daerah AS Brian Cogan mengumumkan keputusan itu di sebuah mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York City.

Cogan turut menambah jumlah hukuman penjara selama 30 tahun dan mengarahkan Guzman membayar AS$12.6 bilion dalam pelucuthakan kepada kerajaan AS.

Guzman, 62, didapati bersalah dalam bulan Februari atas 10 pertuduhan jenayah, termasuk terlibat dalam kegiatan jenayah berterusan, konspirasi pembunuhan dan pengedaran dadah antarabangsa.

Sebagai bekas pemimpin organisasi penyeludupan dadah terbesar dunia Sinaloa Cartel, Guzman telah menyeludup heroin bernilai lebih AS$12 bilion, metamfetamin, ganja dan kokain dari Mexico ke AS sejak bertahun-tahun, menurut pendakwa raya persekutuan.

Mereka turut menyifatkan Guzman sebagai ‘kejam dan dahagakan darah’ yang melakukan terlalu banyak perbuatan jenayah untuk dicatat sepenuhnya. – Bernama

Lakaran bilik mahkamah menunjukkan oaquin ‘El Chapo’ Guzman (kanan) mendengar hukumannya melalui seorang jurubahasa. – AP