LIBREVILLE, 2 Feb – Penjaga gol veteran yang berusia 44 tahun, Essam El Hadary telah menyelamatkan sepakan penalti Bertrand Traore bagi membolehkan Mesir menewaskan Burkina Fao 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi tadi, sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika.
Perlawanan separuh akhir yang tegang di Libreville berakhir 1-1 selepas 90 minit dan masa tambahan, dengan jaringan pembukaan yang menarik bintang Roma, Mohamed Salah di minit ke-66 hanya bertahan selama tujuh minit apabila Aristide Bance menyamakan kedudukan bagi Burkina Faso.
Jaringan itu merupakan gol pertama yang dibolosi El Hadary, pemain tertua yang beraksi di Piala Negara-Negara Afrika, dalam masa 653 minit di kejohanan tersebut sejak 2010.
Abdallah El Said terlepas penalti pertama Mesir dalam penentuan sepakan penalti tetapi El Hadary bermain cemerlang bagi Pharaohs apabila menyelamatkan sepakan penjaga gol lawan, Herve Koffi dan sepakan terakhir oleh Traore. Bagi Mesir, kemenangan itu melengkapkan perjalanan hebat mereka ke final bagi aksi pertama mereka sejak ketiadaan selama tujuh tahun.

Belum dikalahkan dalam 24 perlawanan di kejohanan itu, mereka akan bermain sama ada Cameroon atau Ghana di ibu negara Gabon apabila mereka dilihat mahu merangkul semula kejuaraan yang dimenangi mereka tiga kali berturut-turut antara 2006 dan 2010.
“Mereka bermain lebih baik berbanding kami dan mempunyai beberapa peluang yang disia-siakan,” akui jurulatih Mesir dari Argentina, Hector Cuper.
“Kami sangat letih dan harapan kami adalah untuk memasuki penentuan sepakan penalti kerana ketika itu apa sahaja boleh terjadi. Kami sangat gembira untuk berada di final.” – AFP