El Salvador bakal bangunkan ‘Bandar Bitcoin’

LA LIBERTAD, EL SALVADOR, 22 NOV – Dalam suasana seperti konsert rock, Presiden El Salvado rNayib Bukele mengumumkan bahawa kerajaannya akan membina ‘Bandar Bitcoin’ di kaki sebuah gunung berapi.

Bukele menggunakan perhimpunan penggemar Bitcoin pada malam Sabtu untuk melancarkan idea terbaharunya, sama seperti semasa beliau menggunakan persidangan Bitcoin sebelumnya di Miami untuk mengumumkan dalam satu pesanan video bahawa El Salvador akan menjadi ne-gara pertama yang menjadikan mata wang kripto mata wang sah.

Satu tawaran bon akan dilancarkan pada tahun 2022 dalam Bitcoin, menurut Bukele. 60 hari selepas pembiayaan diluluskan, pembinaan bandar berkenaan akan bermula.

Bandar itu akan dibina berhampiran gunung berapi Conchagua untuk mengambil kesempatan ke atas tenaga geotermal untuk menjana bandar dan perlombongan Bitcoin – penggunaan pengiraan matematik kompleks siang dan malam untuk mengesahkan transaksi mata wang tersebut.

Kerajaan telah pun mengendalikan usaha sama perlombongan Bitcoin di sebuah kilang tenaga geotermal lain di sebelah gunung berapi Tecapa.

Bandar itu akan dibina dengan tumpuan untuk menarik pelaburan asing. Terdapat kawasan perumahan, gedung membeli-belah, restoran dan sebuah pelabuhan, kata Bukele. Presiden juga bercakap mengenai pendidikan digital, teknologi dan pengangkutan awam mampan.

“Labur di sini dan peroleh kesemua wang yang diingini awda,” beritahu Bukele kepada hadirin pada akhir Persidangan Bitcoin Latin Amerika di El Salvador. – AP

Presiden Nayib Bukele mengambil bahagian dalam majlis penutup kongres untuk pelabur mata wang kripto di Santa Maria Mizata, El Salvador pada 20 November. Bukele mengumumkan kerajaannya akan membina ‘Bandar Bitcoin’ di kaki sebuah gunung berapi. – AP