Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak bayar cukai rokok, 3 lelaki tempatan didenda

    Oleh Rafidah Jumat

     

    pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Tiga lelaki tempatan yang disabit dengan kesalahan cuba mengelak dari membayar cukai untuk pelbagai jenis rokok dijatuhi hukuman denda $90,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

    Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman ke atas Hasrin bin Jinggan, 33, Mohammad Salihin bin Haji Kamaruddin, 32 dan Mohammad Hafiz bin Mohammad Azman @ Azni bin Balanda, 36, yang didapati bersalah selepas perbicaraan atas tuduhan cuba menyeludup masuk 282 karton rokok tanpa membayar cukai.

    Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 12 Disember 2010.

    Majistret Kanan Azrimah berkata, pihak pendakwaan berjaya buktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Rancangan ketiga-tiga tertuduh untuk membawa masuk pelbagai jenis rokok itu tergendala apabila menyedari ada beberapa pegawai kastam sedang bertugas di pos pemeriksaan.

    Ketiga-tiga tertuduh kemudian bertindak membuang enam beg yang mengandungi rokok-rokok itu ke dalam hutan.

    Beg-beg yang mengandungi rokok itu kemudian ditemui oleh pegawai kastam dan pegawai narkotik semasa menjalankan rondaan di kawasan hutan tersebut.

    Jika ketiga-tiga tertuduh gagal membayar denda, Majistret Kanan Azrimah memerintahkan mereka untuk menjalani hukuman 18 bulan penjara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda