Elak cetus gelombang kedua COVID-19 ketika sibuk membeli belah

KUALA LUMPUR, 29 JULAI – Berbaki dua hari lagi untuk menyambut sambutan Aidiladha, orang ramai sekali lagi dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika sibuk membeli-belah dalam membuat persiapan perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata kawalan kendiri memainkan peranan penting bagi mengelakkan tercetusnya gelombang kedua COVID-19, terutamanya semasa orang ramai sibuk membeli-belah untuk persiapan Aidiladha.

“Orang ramai perlu beringat bahawa pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Kita akan menyambut perayaan Aidiladha dua hari lagi, ketika tinjauan saya tadi, saya nampak premis per-niagaan mempamerkan harga diskaun dengan pelbagai promosi lain.

“Kita sedia maklum bahawa ketika ini orang ramai tidak boleh membeli belah seperti kebiasaan iaitu datang beramai-ramai, bersesak kerana pandemik COVID-19 masih belum berakhir,” katanya selepas merasmikan kempen Jualan Malaysia 2020 di pusat beli-belah, Sogo di sini hari ini

Terdahulu beliau mengadakan walkabout di premis perniagaan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) bagi meninjau persiapan peniaga untuk sambutan Aidiladha kali ini. – Bernama

Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) singgah ke lot kedai sambil bertegur sapa dengan Pengarah Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Mohammad Munzir Aminuddin (kiri) di kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama