Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Tiga buah syarikat tempatan telah diarahkan untuk membayar denda berjumlah $2,000 dan $4,000 di Mahkamah Majistret kerana gagal untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan bagi tiap-tiap tahun kewangan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, pada September dan Oktober, tiga buah syarikat berkenaan diarahkan untuk membayar denda kerana gagal untuk mematuhi Seksyen 52(1) Akta Cukai Pendapatan Penggal 35. Sebuah syarikat telah diarahkan membayar denda sebanyak $4,000 kerana gagal untuk menghadapkan Penyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2017, 2018, 2019 dan 2020.
Sebuah syarikat juga diarahkan membayar denda sebanyak $4,000 kerana gagal untuk menghadapkan Penyata Cukai Pendapat bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020.
Sebuah lagi syarikat diarahkan membayar denda sebanyak $2,000 kerana gagal untuk menghadapkan Penyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Kewangan yang berakhir 31 Disember 2019 dan 2020.
Bahagian Hasil mengingatkan bahawa syarikat-syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat, Penggal 39 perlu menghadapkan penyata cukai pendapatan masing-masing selewat-lewatnya pada 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan.
Jika sabit bersalah kerana gagal menghadapkannya, di samping dikehendaki untuk membayar denda yang dikenakan oleh mahkamah, syarikat terbabit juga dikehendaki untuk menghadapkan penyata cukai pendapatan yang tertunggak dan membayar cukai pendapatan yang tertunggak serta penalti yang dikenakan iaitu maksimum 17 peratus daripada jumlah cukai yang tertunggak.