Elak diskriminasi pesakit COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada mendiskriminasikan bekas-bekas pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Yang Berhormat Dato turut menekankan orang ramai tidak perlu risau mengenai risiko jangkitan daripada bekas-bekas pesakit ini kerana mereka boleh kembali kepada kehidupan sediakala dan boleh kembali bekerja seperti biasa sebaik saja menamatkan tempoh pengasingan.

“Oleh itu, para majikan tidak perlu mengambil tindakan-tindakan seperti memaksa mereka untuk mengambil cuti tanpa gaji atau mengasingkan mereka daripada orang lain,” tambahnya lagi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menegaskan perkara itu semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato seterusnya menambah memadailah dengan memastikan langkah-langkah kewaspadaan umum dilakukan di tempat kerja oleh semua pegawai dan kakitangan seperti menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengamalkan penjarakan fizikal (physical distancing).

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.

Sementara itu, bagi perkemba-ngan terkini jangkitan, Yang Berhormat Dato mengesahkan bahawa tidak ada kes baharu dicatatkan buat hari ke-12 berturut-turut di negara ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 138 orang.

Sementara itu, tidak ada kes telah disahkan sembuh daripada COVID-19 dengan jumlahnya kekal 124 orang. Ini membawa jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada 13 kes.

Menurutnya lagi, daripada jumlah tersebut, dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

“Pada hari ini juga, seramai 58 orang masih menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,517 orang,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Katanya, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 137 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 13,717 ujian.

Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa tidak ada kes yang sedemikian disahkan pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini seramai 22 orang dengan enam lagi masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.

“Sebagaimana beberapa kajian di beberapa buah negara mengenai pesakit-pesakit COVID-19 yang didapati positif semula selepas disahkan sembuh, Kementerian Kesihataningin memaklumkan kepada orang ramai bahawa setakat ini belum ada bukti yang menunjukkan mereka ini boleh lagi menjangkiti orang lain,”katanya.

Jelasnya, bagi pesakit-pesakit sedemikian di negara ini, Kementerian Kesihatan mempunyai tatacara yang jelas dan komprehensif bagi memberikan rawatan susulan.

“Mana-mana pesakit yang didapati positif semula selepas disahkan sembuh akan dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi siasatan dan rawatan lanjut dan seterusnya akan diarahkan menjalani pengasingan diri bagi tempoh 14 hari lagi apabila dibenarkan pulang bagi kali kedua dari pusat tersebut,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.