Tidak gemar gimik murahan, penyanyi Malaysia, Farahdhiya, 37, elak melakukan perkara yang boleh menampakkan kebodohan diri demi meraih perhatian single baharu berjudul Tewas.
Mula bertapak dalam dunia nyanyian sejak berusia 18 tahun, Farahdhiya mengakui, dia lebih percaya kepada kualiti lagu dan pemasaran bagus boleh melonjakkan sesebuah karya.
“Saya tidak mahu menggunakan pendekatan gimik keterlaluan seperti dilakukan segelintir penyanyi untuk mempopularkan lagu.
“Jadi, tiada sebarang gimik dilakukan untuk single Tewas, sebaliknya saya percaya kepada kualiti lagu dan teknik pemasaran.
“Saya tidak gemar gimik murahan. Ada kala saya tidak sanggup melihat penyanyi lain melakukan gimik sehingga memalukan dan memperbodohkan diri.
“Saya tidak perlukannya. Jika hendak keluarkan lagu, keluarkan sahaja tanpa apa-apa gimik,” katanya kepada wartawan.
Single Tewas ciptaan sepenuhnya Pown Hasril, Karim Karam, Otromen, Nass dan DL.
Namun, kali ini, penyanyi berdarah kacukan Melayu-Inggeris yang cukup dikenali dengan genre lagu balada itu tampil dengan kelainan apabila memilih genre Elektronic Dance Music (EDM).
Lebih istimewa, katanya, single Tewas disampaikan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Korea. Malah, menampilkan penyanyi rap dari Korea Selatan, Denis.
Farahdhiya yang pernah popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati yakin kemampuan single Tewas, namun, tetap memerlukan publisiti dan promosi yang bagus bagi membolehkannya diterima.
“Setiap kali menghasilkan lagu baharu, tidak kisah bakal meletup atau sebaliknya, saya sentiasa ada keyakinan terhadap lagu yang dinyanyikan.
“Bagi saya, jika sesebuah karya tidak meletup bukan sebab tidak cukup sedap atau bagus.
“Mungkin berpunca dari segi publisiti dan promosi. Seperti saya katakan, saya sangat yakin dengan single Tewas kerana ia adalah karya yang bagus.
“Justeru, saya amat berharap single Tewas mendapat sokongan peminat,” katanya. – Agensi