Monday, October 7, 2024
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak jadi ‘jutawan dosa’ media sosial

    JIKA para sahabat Rasulullah SAW hidup semula pada zaman ini, mereka pasti kagum melihat perkembangan teknologi maklumat yang ada. Mereka pasti terkejut melihat betapa cepatnya maklumat dan berita tersebar dalam jaringan media sosial. Ilmu dan pahala diperoleh dengan mudah melalui jari jemari. Tekan sahaja, pahala masuk mencurah bak hujan yang lebat. Pendek kata, jika teknologi maklumat pada hari ini digunakan sepenuhnya secara positif, pasti tiada lagi manusia jahil.

    Pun begitu, para sahabat nabi pasti lebih terkejut melihat betapa mudahnya media sosial melahirkan ‘jutawan dosa senyap’. Apa tidaknya, akhlak ‘bahasa’ sesetengah orang Islam dalam media sosial pada hari ini sungguh dahsyat. Adakah mereka ingat para malaikat tidak menilai akaun media sosial mereka?

    Untuk makluman, malaikat belum pencen sebagai pegawai audit amalan harian mereka. Firman Allah: “Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya),” (Qaf [50:17-18]).

    Setelah melihat dahsyatnya akhlak umat Islam pada zaman ini, pasti para sahabat nabi akan mengingatkan kita semua dengan sebuah sabda Rasullah SAW yang sudah lama umat Islam zaman ini baca dan dengar: “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendak dia berkata (yang) baik (sahaja) atau diam,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

    ‘Tangan’ lebih tajam daripada pedang

    Jangan kita sempitkan maksud berkata-kata baik atau diam dalam hadis di atas hanya pada aktiviti lidah. Pada zaman ini, bicara tangan jauh lebih lantang dan bahaya berbanding lidah. Ini sebabnya Allah banyak mengaitkan nasib malang manusia yang dihumban ke neraka kerana jenayah tangan. Dalam media sosial, tangan banyak melakukan jenayah fitnah, kongsi tanpa semak, ejek dan sindir. Benar sekali firman Allah ini: “(Azab seksa) yang demikian itu adalah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya,” (al-Anfal[8:51]).

    Pendek kata, jika teknologi maklumat pada hari ini digunakan sepenuhnya secara positif, pasti tiada lagi manusia jahil.
    Pendek kata, jika teknologi maklumat pada hari ini digunakan sepenuhnya secara positif, pasti tiada lagi manusia jahil.

    Dalam media sosial, tangan banyak melakukan jenayah fitnah, kongsi tanpa semak, ejek dan sindir.
    Dalam media sosial, tangan banyak melakukan jenayah fitnah, kongsi tanpa semak, ejek dan sindir.

    Bahkan semasa audit mahsyar di akhirat kelak, tangan yang kaku boleh berbicara dengan fasih sebagaimana firman Allah: “Pada waktu itu Kami paterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan mereka berbicara kepada Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan,” (Yasin[36:65]).

    Oleh itu, usaha menjaga tangan agar jangan berbicara tanpa hala dalam media sosial perlu digiatkan. Bicara lidah atau tangan banyak berkait dengan kesucian hati. Bukan saya kata, tapi Rasulullah SAW yang bersabda: “Iman seseorang hamba itu tidak akan lurus sehinggalah hati jantungnya lurus (terlebih dahulu). Hati jantungnya pula tidak akan lurus sehinggalah lidahnya lurus (terlebih dahulu).  Seorang lelaki (dan wanita) tidak akan masuk syurga jika jirannya tidak selamat daripada kejahatannya,” – Musnad Ahmad.

    Jangan jadi ejen penyebar fitnah

    Selain itu, jika kita benar-benar menjiwai maksud Islam yang dianuti, semua pihak wajib menjaga diri agar tidak memangsakan saudara Muslim lain dengan kejahatan lidah dan tangan di mana sahaja kita berada sama ada alam nyata atau maya. Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim (sejati) adalah orang yang saudara Muslim lain terselamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

    Dalam hadis lain, Baginda turut bersabda: “Mahukan aku khabarkan padamu perkara yang mampu mengawal semuanya (akidah, ibadat dan amal soleh)? Mu’adh bin Jabal menjawab: Ya wahai Nabi Allah! Rasulullah mengeluarkan lidahnya kemudian berkata: “Jaga benda ini (lidahmu).” Aku (Mu’adh) tanya: “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan dihukum kerana apa yang kita ucapkan? Baginda menjawab: Sedarlah Wahai Mu’adh! Tidakkah manusia dihumban ke neraka atas wajah dan hidung mereka kerana tuaian (buruk) lidahnya ini,” – Sunan Tirmizi.

    Melihat kepada fitnah media sosial yang sungguh dahsyat, saya yakin sabda baginda SAW dalam hadis ini bukan hanya terbatas kepada lidah, tetapi merangkumi ‘lidah maya’ yang dimainkan oleh tangan kita semua.

    Menjaga lidah atau tangan dengan diam atau berkata baik sahaja sangat penting bagi menjamin keselamatan iman dan keharmonian masyarakat. Lihat sahaja berapa banyak musibah fitnah media sosial sudah berlaku dan membakar hangus nilai amanah, kepercayaan, integriti dan hubungan silaturahim.

    Para ulama banyak menulis buku berkaitan kepentingan diam dan menjaga lidah seperti buku Imam Ibn Abi al-Dunya yang bertajuk ‘al-Samt Wa Adab al-Lisan’ (Diam dan adab menjaga lidah). Saya yakin, jika beliau masih hidup, pasti buku ini akan bertukar tajuknya menjadi ‘Kepentingan diam dan adab menjaga lidah serta tangan dalam media sosial’.

    Pedoman

    Selepas ini jika timbul apa sahaja isu dalam media sosial, tahanlah ‘jari-jemari’ anda daripada mengeluarkan ‘suaranya yang sumbang’. Timbanglah terlebih dahulu dengan neraca iman. Adakah cakapku ini boleh mengundang dosa atau pahala? Adakah komenku ini akan merendah atau menaikkan sesiapa?

    Hayati sabda Rasulullah SAW pada awal rencana ini untuk berkata baik atau diam sahaja. Mengapa agaknya pangkal hadis itu diikat dengan dua Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat? Tidak lain, kegagalan menjaga lidah atau ‘tangan’ akan mengundang murka Allah. Semoga Allah kurniakan kita semua kebijaksanaan dengan mengamalkan ‘sunah diam atau  berkata baik’ dalam media sosial.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda