KUALA LUMPUR – Musim Aidilfitri yang bakal menjelang cukup sinonim dengan aktiviti kunjung-mengunjung dan hidangan pelbagai juadah makanan.
Namun jika tidak berhati-hati, masalah keracunan makanan yang berpunca daripada makanan tercemar atau tidak dimasak dengan baik boleh mengakibatkan suasana raya yang meriah menjadi suram.
Pengarah Pusat Jaminan Kualiti Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Amin Ismail berkata makanan yang tidak dimasak dengan baik akan menyebabkan percambahan bakteria jahat yang boleh mengakibatkan keracunan makanan jika dimakan.
Beliau yang juga Profesor di Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM turut berkata makanan yang berkuah lebih berpotensi mengakibatkan pertumbuhan bakteria yang tinggi jika tidak disimpan dengan baik.
“Oleh itu, perlu hangatkan dulu makanan sebelum dihidang kepada tetamu yang datang. Jangan hidang makanan yang dibiarkan semalaman dan tidak ditutup dengan baik. Jika telah berbuih atau berlendir, jangan makan atau hidangkan,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar mengambil makanan secara bersederhana dan pastikan makanan yang diambil adalah bersih walaupun aktiviti ziarah-menziarahi telah dibenarkan di fasa peralihan endemik ini. – Bernama