Tuesday, April 16, 2024
31.7 C
Brunei

    -

    Elak libat dalam perdagangan kripto

    Oleh Yusrin Junaidi

    Seiring perkembangan zaman yang begitu pesat, teknologi turut mengalami perkembangan dalam setiap aspek kehidupan seperti kemunculan mata wang digital, kripto yang menjadi satu fenomena baharu yang kian mendapat perhatian di seluruh dunia.

    Kemunculan kripto ini dianggap sebagai alternatif baharu kepada mata wang sedia ada dalam urus niaga pada abad ini. Ia dibangunkan di alam maya dengan menggunakan perkakasan komputer sepenuhnya dan bukan bersifat fizikal.

    Media Permata berkesempatan menghubungi Dekan Fakulti Syariah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar yang menjelaskan bagi memahami konsep mata wang ini secara jelas memerlukan rujukan kepada tafsiran ilmuan dan sarjana khususnya sarjana Islam dalam hal berkenaan.

    Pandangan Islam tentang mata wang

    Kongsi beliau, pelbagai definisi telah dikemukakan oleh para sarjana Islam berkaitan konsep dan pengertian mata wang di dalam Islam.

    Menurut beberapa pandangan, Imam Malik mendefinisikan wang sebagai sesuatu barang yang boleh diterima sebagai alat pertukaran. Manakala Imam Ghazali pula menyatakan, Allah SWT telah menjadikan dinar dan dirham sebagai pengadil dan perantara di antara semua harta sehingga semua harta benda dapat diukur dengannya, ini kerana ia adalah suatu yang kekal, maka mata wang daripada emas dan perak dapat menjadi satu mekanisme yang adil sebagai alat pengukur sesuatu barangan.

    Kemunculan kripto ini dianggap sebagai alternatif baharu kepada mata wang sedia ada dalam urus niaga pada abad ini.
    BDCB juga mengambil maklum salah satu aktiviti yang semakin mendapat perhatian ialah penempaan mata wang kripto.

    Oleh itu berdasarkan takrif-takrif berkenaan dapat disimpulkan bahawa mata wang dalam Islam adalah sesuatu yang berfungsi sebagai alat perantaraan dalam proses pertukaran barangan yang juga digunakan bagi menjadi pengukur nilai bagi sesuatu benda ataupun barangan.

    Tambahnya, dalam Islam tidak mengiktiraf wang dijadikan sebagai komoditi untuk dijual beli kecuali dalam kes-kes tertentu sahaja. Kalau melihat kepada sejarah kripto berkenaan, ia adalah satu mata wang digital yang dicipta pada tahun 2009.

    Operasi kripto diselenggara oleh satu autoriti yang tidak berpusat, berbeza dengan mata wang yang biasa diselenggara oleh badan kewangan atau bank negara masing-masing.

    Transaksi kripto dijalankan secara terus melalui saluran kriptografi antara pengguna tanpa ada perantara atau orang tengah dan juga boleh ditukar atau dijual beli dengan mata wang biasa, produk atau servis.

    Menurut pengasasnya, kripto dicipta bagi membolehkan transaksi pembayaran secara dalam talian, dihantar secara terus dari satu pihak ke satu pihak yang lain tanpa melalui institusi perbankan atau kewangan sebagai pihak ketiga dan ia akan melancarkan urusan transaksi.

    Dr Haji Noralizam menjelaskan, dalam Islam para sarjana meletakkan pelbagai ciri mata wang sama ada ciri fizikal, teknikal dan seumpamanya. Contoh ciri fizikal ialah senang dibawa, dikira, ketahanan dan sebagainya.

    Bagaimanapun, ciri penting yang perlu ada sebagai mata wang ialah dua sifat utama, pertama diterima umum, yang mana wang hendaklah diterima umum tidak kira dalam sistem ekonomi apa sekali pun, bagi berfungsi sebagai alat tukaran.

    Yang kedua iaitu kestabilan nilai, sifat ini adalah sangat penting kepada mata wang, secara umum, nilainya yang stabil tidak mudah naik dan turun secara mendadak, dan jika nilai tidak stabil maka ia tidak boleh berfungsi sebagai penyimpan nilai.

    Terdapat pandangan bahawa kripto ini memiliki kebaikannya, di mana ia berfungsi secara maya yang membolehkan perpindahan wang dilakukan lebih pantas dan menjimatkan kos jika dibandingkan dengan sistem kewangan pada hari ini.

    Selain itu, ia juga dapat memberikan tahap keselamatan yang tinggi kepada pengguna berbanding menggunakan wang fizikal dan mempunyai kadar nilai yang tinggi pada hari ini namun tetap terdedah dengan kadar turun naik yang tidak stabil.

    Sebagai satu produk inovasi yang baharu dalam pasaran, sudah pasti mempunyai risiko dari sudut keburukan dan masalah yang masih belum diselesaikan sehingga kini. Antaranya ialah naik turun nilai yang sukar dikawal dan dijangka, spekulasi berlebihan para pelabur, tidak mempunyai sandaran nilai yang stabil dan tetap.

    Risiko penggodaman terhadap sistem juga agak terdedah sehingga mengakibatkan kerugian yang besar dan juga pernah digunakan oleh mereka tidak bertanggungjawab untuk aktiviti pengganas dan skim cepat kaya dan sebagainya. Maka, mata wang kripto adalah sangat-sangat tidak digalakkan dalam Islam kerana lebih banyak kekurangannya dari segi nilai, ketahanan dan sebagainya.

    Kripto sangat berisiko

    Media turut berkesempatan menemu bual Haji Suhaili untuk mendapatkan pandangan beliau terhadap kripto, yang mana menurut beliau bukan perkara baharu dan sudah agak sering didengar di mana-mana yang menjadi perbualan rakan-rakan walaupun beliau tidak pernah menceburi perniagaan tersebut.

    “Dari pembacaan dan maklumat yang saya dapati, perniagaan atau pendapatan melalui kripto ini adalah tidak dibenarkan sama sekali di Negara Brunei Darussalam berdasarkan beberapa kriteria yang meragukan, tidak jelas dan sebagainya,” katanya.

    Manakala salah seorang orang awam lain yang turut berkesempatan ditemui penulis, Dayang Zida binti Abdullah menjelaskan mengenai dengan urus niaga Bitcoin, Forex, dan sebagainya yang berkaitan dengan mata wang digital, sememangnya sangat berisiko kerana pengasasnya tidak berpusat dan di luar bidang kuasa kerajaan Negara Brunei Darussalam.

    Tambahnya, jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini atau mendapat kerugian besar dari urus niaga yang dijalankan, pemilik akan mendapat kerugian secara total. Beliau juga tidak menyarankan untuk melakukan urus niaga dengan aktiviti yang melibatkan mata wang kripto dan sebagainya terutama sekali para belia yang masih belum peka tentang asal usul mata wang kripto.

    Manipulasi sistem kewangan

    Mata wang kripto atau sebagainya yang bersifat mata wang digital juga boleh disalah guna oleh segelintir pengusaha untuk memanipulasi sistem kewangan semasa. Begitu juga dengan fatwa dari Jabatan Mufti Negara Brunei Darussalam melalui media massa dan beberapa pencerahan daripada orang awam yang mendapat keterangan bahawa perniagaan kripto atau Forex dalam talian adalah difatwakan haram hukumnya.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) juga mengambil maklum salah satu aktiviti yang semakin mendapat perhatian ialah penempaan mata wang kripto (crypto mining). Ia adalah satu proses yang mengesahkan transaksi-transaksi dalam rangkaian block-chain untuk menghasilkan mata wang kripto baharu dengan menyelesaikan crytographic puzzles yang rumit.

    Sehubungan itu, bank pusat berkenaan sedang membentuk rangka kerja perundangan dan pengawalseliaan bagi melesenkan dan menyelia mata wang kripto dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya.

    Proses itu memerlukan penggunaan mesin dengan kuasa pengkomputeran yang besar dan melibatkan penggunaan elektrik yang tinggi. Dalam hal itu, penggunaan komputer atau mesin-mesin lain secara khusus untuk menjalankan aktiviti penempaan mata wang kripto adalah di luar bidang kuasa BDCB. Namun demikian, BDCB akan berusaha untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang relevan bagi menangani isu-isu berkaitan dengan penempaan mata wang kripto.

    BDCB mempunyai peranan yang penting dalam melindungi kepentingan dan integriti sistem kewangan Negara Brunei Darussalam. Oleh itu, BDCB menekankan kepada orang ramai untuk berhati-hati sebelum berurusan dengan mata wang kripto serta produk-produk berkaitan dengannya dan memahami secara menyeluruh risiko-risiko yang berkaitan.

    Orang ramai juga diingatkan untuk berhati-hati dengan penipuan mata wang kripto yang menjanjikan pulangan yang tinggi melalui pelaburan yang banyak diiklankan dalam talian dan melalui media sosial.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...