Elak perhimpunan ramai di LTAB

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Ke arah langkah-langkah untuk terus mengekang jangkitan COVID-19 di negara ini, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi hari ini telah memaklumkan mengenai tatacara menghantar penumpang-penumpang belayar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi penerbangan ke London, United Kingdom pada 3 dan 10 Oktober 2020.

Menurut kenyataan jabatan berkenaan di sini, semua penumpang sama ada rombongan mahupun persendirian hendaklah menggunakan kaedah ‘drop-off’ sahaja.

Bagi penuntut-penuntut yang mengikuti penerbangan BI 003 ke London, United Kingdom pada 3 dan 10 Oktober adalah dikehendaki untuk membuat ‘check-in’ sehari lebih awal sebelum penerbangan bermula 7 hingga 10 malam.

Penuntut-penuntut juga adalah disarankan untuk mengikuti apa-apa jua nasihat yang dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan mengenai tatacara berlepas. Selain itu, penumpang-penumpang lain yang juga mengikuti penerbangan BI 003 ke London, United Kingdom pada tarikh-tarikh tersebut juga digalakkan untuk membuat ‘check-in’ lebih awal.