Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elak perhimpunan ramai

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Dalam usaha untuk menangani wabak COVID-19 di negara ini, beberapa langkah telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan salah satunya dengan mengurangkan risiko transmisi tempatan dalam komuniti.

    Salah satu langkah berkesan adalah mengehadkan perkumpulan dan perhimpunan ramai dalam jumlah yang banyak dalam tempoh yang berpanjangan.

    Dalam konteks COVID-19 di negara ini, perkumpulan ramai itu antaranya persidangan, latihan kursus, mesyuarat, perkumpulan keagamaan, acara-acara kebudayaan, sukan, rekreasi, hiburan, acara persendirian termasuk acara majlis perkahwinan, hari jadi, perkumpulan yang melibatkan dalam jumlah yang ramai.

    Sementara itu, persoalan mengenai majlis perkahwinan dalam masa terdekat, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya baru-baru ini menjelaskan bahawa majlis akad nikah bagi orang Islam sebaik-baiknya hanya dilakukan di rumah dengan syarat bilangan tetamu adalah terhad yang mana ini adalah bagi mengurangkan kesesakan dan mengambil risiko jangkitan dalam keadaan tertutup.

    Di samping itu, jika pengantin lelaki atau pengantin perempuan tidak sihat, disarankan untuk menangguhkannya.

    Acara tersebut adalah lebih baik dihadiri oleh ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa pengantin, adik beradik, saudara terdekat (sepupu) dan mereka yang dianggap sebagai ahli keluarga atau sahabat rapat manakala itu, mereka yang tidak mempunyai syarat berkenaan dinasihatkan supaya tidak hadir.

    Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti warga emas yang mempunyai penyakit kronik, individu yang menghidap masalah buah pinggang atau paru-paru, masalah kanser dan immunocompromised lain, wanita mengandung, anak damit dan kanak-kanak di bawah umur lima tahun dan mereka yang tidak sihat terutama dengan gejala pernafasan juga dinasihatkan supaya tidak menghadiri majlis berkenaan.

    Penganjur juga dinasihatkan supaya menangguhkan acara jika boleh dan jika acara itu perlu diteruskan, pihak penganjur dinasihatkan untuk meletakkan langkah berjaga-jaga seperti mengurangkan tetamu dalam jumlah di bawah 50 orang, meningkatkan pengudaraan dan kurangkan hubungan dengan orang lain.

    Di samping juga, mengetahui tetamu yang hadir dan siapa yang dijemput selain sentiasa memastikan kebersihan diri dan persekitaran serta tetamu.

    Peserta juga dinasihatkan untuk memantau keadaan kesihatan mereka sendiri selepas menghadiri acara sekurang-kurangnya dua minggu selain mendapatkan rawatan perubatan jika mereka tidak sihat dengan demam atau gejala pernafasan dan mengetahui seseorang yang menghadiri acara yang sama telah disahkan sebagai kes COVID-19.

    Untuk mendapatkan nasihat atau arahan lanjut, orang ramai boleh hubungi Talian Nasihat Kesihatan 148.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda