Elak rugi di bulan ramadan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Episod ke-12, Program Ramadan Mubarak Bersama KUPU SB telah diteruskan lagi hari ini dengan tajuk tazkirah ‘Rugi’ yang disampaikan oleh Timbalan Dekan, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Ismail Abas.

Dr Ismail Abas dalam tazkirah online tersebut menyentuh mengenai beberapa orang Islam yang berpuasa pada bulan Ramadan ini tetapi berdepan kerugian kerana tidak mengamalkan amalan-amalan yang dianjurkan untuk merebut pahala berlipat ganda.

Menurut beliau lagi, semasa berbuka puasa pula ada yang tidak merebut peluang untuk berdoa tika doa yang paling mustajab adalah sebelum berbuka puasa, maka umat Islam dianjurkan untuk berdoa pada waktu tersebut dengan memohon perkara-perkara baik kepada Allah SWT seperti diberikan kesihatan, kebahagiaan sentiasa dilindungi daripada bahaya dan banyak lagi dan amatlah rugi mereka yang tidak berdoa.

Manakala katanya lagi, orang-orang rugi itu juga terdiri daripada mereka yang bangun malam untuk bersahur namun tidak berdoa pada waktu itu kerana pada masa itulah juga Allah menerima doa mereka yang meminta apa jua perkara kebaikan di dunia dan di akhirat, apatah lagi jika mereka turut tidak menunaikan solat Sunat Tahajud dua rakaat, maka amatlah besar ruginya.

Dr Ismail Abas juga mengatakan orang-orang yang berpuasa tetapi tidak menjaga lidah, menuturkan perkara tidak elok serta mengumpat dan sebagainya itu juga boleh membatalkan pahala puasa.

Maka dengan itu, beliau turut menyeru agar semua umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan penuh berkah serta meraih pahala sebanyak-banyaknya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan tidak mensia-siakannya. Program Ramadan Mubarak anjuran KUPU SB itu merupakan tazkirah pendek secara dalam talian yang bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan dengan aktiviti-aktiviti keagamaan.

Program Ramadan Mubarak Bersama KUPU SB Episod 12, disampaikan oleh Dr Ismail Abas.