‘Elak sebar berita palsu’

Oleh Syahmi Hassan
Gambar serahan Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Lapan pelanggaran arahan telah didapati semasa Operasi Pulih yang dijalankan semalam dari jam 8 malam hingga 4 pagi tadi di seluruh negara dengan denda kompaun turut dikeluarkan.

“Enam daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah, manakala dua lagi kesalahan tidak memakai pelitup muka,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media, hari ini.

Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengatakan daripada lapan pelanggaran arahan tersebut, empat kesalahan telah didapati di Daerah Brunei dan Muara, tiga kesalahan di Daerah Belait, dan satu kesalahan di Daerah Tutong.

PPDB dalam kenyataannya juga menegaskan dan menyarankan orang ramai untuk sentiasa merujuk dan mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang rasmi daripada pihak-pihak kerajaan bagi mengatasi dan mengelak daripada terdedah kepada sumber khabar angin dan berbaur propaganda.

“Di sebalik kewujudan platform digital serba canggih ini, penyebaran maklumat tidak tepat dan berita palsu turut dilihat sebagai masalah yang serius dan mempunyai risiko dalam mempengaruhi pendapat umum serta tingkah laku masyarakat di samping memberi kesan dan implikasi dalam menggugat keamanan dan keselamatan negara,” jelas PPDB.

Perkara tersebut juga berkait rapat dengan langkah-langkah pengawalan COVID-19, di mana pihak kerajaan telah mewujudkan talian-talian hotline bagi memudahkan orang ramai untuk membuat laporan atau mengongsikan sebarang aduan mengenai pelanggaran SOP COVID-19 yang dikawal oleh Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19) beroperasi selama 24 jam setiap hari.

Sehubungan itu, PPDB turut menasihatkan masyarakat awam untuk lebih celik dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat yang diterima melalui mana-mana platform telekomunikasi dan media sosial.

Pihak polis juga menyarankan orang ramai untuk mengambil inisiatif bagi mengesahkan dahulu maklumat yang diperolehi dan jika ianya didapati meragukan dan tidak pasti akan kesahihannya sila rujuk kembali ke mana-mana pihak yang berwajib.

Anggota polis ketika menjalankan pemeriksaan semasa Operasi Pulih.
ATAS & BAWAH: Enam individu yang didapati melanggar arahan teranah di rumah.