Elak sekatan, pasangan sewa pesawat kahwin di udara

NEW DELHI, 25 MEI – Demi melangsungkan perkahwinan tanpa sebarang sekatan koronavirus, pasangan India sanggup menyewa sebuah pesawat dan berkahwin di udara disaksikan lebih 160 jemputan, menurut satu laporan.

Pihak berkuasa penerbangan India mengarahkan siasatan dan menggantung kru jet terbabit, kata pegawai.

Disebabkan gelombang koronavirus baharu yang semakin dahsyat – menyaksikan angka kematian di India melepasi 300,000 orang kelmarin – kebanyakan negeri hanya membenarkan 50 jemputan pada majlis perkahwinan, namun 161 sahabat dan keluarga pasangan baharu berkahwin itu juga berada dalam jet itu Ahad lalu.

Pasangan yang tidak dinamakan, berkahwin ketika pesawat Spicejet terbang melepasi ruang udara kuil bersejarah Meenakshi Amman dalam perjalanannya dari Madurai ke Bangalore, lapor Hindustan Times. Video dan gambar perkahwinan mereka dimuatnaik ke laman media sosial, menunjukkan pasangan dan jemputan dengan kalungan bunga di leher mereka serta merakamkan swafoto, namun tidak dapat disahkan segera oleh AFP. – AFP

Gambar fail pesawat Spicejet yang digunakan pasangan itu. – AFP