Elak tanam pokok dekat dengan rumah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Orang ramai disarankan untuk mengelakkan menanam pokok terlalu dekat dengan rumah dan amalkan penjarakan bagi penanaman pokok-pokok tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) membuat saranan tersebut susulan kejadian pokok tumbang berukuran lebih kurang 15 meter panjang dan 20sm garis pusat yang merebahi sebahagian halaman rumah di Kampung Sungai Tilong, Jalan Muara.

JBP dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Balai Bomba Lambak Kanan telah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 11:32 pagi yang mana sebuah jentera bersama empat orang anggota yang diketuai oleh ABK 21 Metussin dikerahkan ke tempat panggilan.

Anggota bomba bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan gergaji rantai.

Kenyataan menekankan, walaupun pokok merupakan elemen yang penting bagi manusia dan haiwan tapi ia boleh juga mendatangkan kemudaratan dan risiko kepada sekeliling seperti pokok tumbang boleh merebahi rumah semasa cuaca tidak menentu.

JBP turut mengingatkan pokok yang ditanam mestilah sentiasa dijaga dan diawasi serta dipotong (trimming) sebelum keadaan tidak terkawal.

Sehubungan itu, JBP menambah, jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat memotong pokok tumbang menggunakan gergaji rantai. – Gambar serahan JBP