Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Elak terjebak jenayah peras ugut seksual dalam talian

    Oleh Nurdiyanah R

    Seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi lebih-lebih lagi dengan kewujudan aplikasi rangkaian media sosial, siapa di antara kita yang tidak kenal WhatsApp, Facebook, Instagram dan juga Youtube?

    Penulis yakin kebanyakan orang di zaman milenia ini tidak kira golongan muda mahupun dewasa sehingga generasi warga emas sekalipun pasti mengetahui mengenainya.

    Apabila memikirkan tentang zaman yang serba canggih ini, tidak dapat dinafikan bahawa rangkaian media sosial telah memperkenalkan kepada kita satu cara yang baharu untuk mengungkapkan kata-kata dan mendengar luahan dalam konteks yang lebih luas. Apa sahaja yang ingin dikatakan boleh ditaip dan diletakkan dalam talian untuk dibaca oleh semua orang yang berada dalam alam siber dengan cepat.

    Meskipun penggunaan rangkaian media sosial memberikan seribu satu manfaat kepada kehidupan, namun ironinya, jika kita lalai dalam penggunaannya dalam kehidupan harian, ia juga boleh memberikan pelbagai ancaman yang membimbangkan kepada diri dan insan-insan di sekeliling sehingga menjerumus dalam kancah jenayah. Salah satu ancaman siber itu ialah peras ugut seksual dalam talian atau lebih dikenali sebagai sextortion.

    Sehubungan itu, Cyber Security Brunei (CSB) telah mengongsikan kepada penulis bahawa peras ugut seksual dalam talian berlaku apabila seseorang yang tidak bertanggungjawab mendapat akses kepada maklumat peribadi mahupun perkara sensitif mangsa seperti foto, video dan sebagainya, kemudian mereka mengancam untuk menerbitkan atau menyebarkannya jika mangsa tidak membuat pembayaran wang seperti yang diminta.

    Penggunaan rangkaian media sosial memberikan seribu satu manfaat kepada kehidupan, jika lalai dalam penggunaannya dalam kehidupan harian juga boleh memberikan pelbagai ancaman yang membimbangkan. – Gambar hiasan
    Penggunaan rangkaian media sosial memberikan seribu satu manfaat kepada kehidupan, jika lalai dalam penggunaannya dalam kehidupan harian juga boleh memberikan pelbagai ancaman yang membimbangkan. – Gambar hiasan

    Jenayah ini biasanya berlaku dalam masa yang singkat antara dua individu, dari masa menerima friend request daripada individu yang tidak dikenali melalui media sosial, dan dari situ bermulalah sesi perkenalan, pertukaran mesej dan besar kemungkinan juga nombor telefon. Begitu juga ada yang berkenalan dalam tempoh yang lama bagi membina kepercayaan antara dua pihak.

    Namun semua itu bergantung kepada modus operandi setiap penjenayah di mana setiap mereka mempunyai teknik memperdayakan mangsa. Apabila penjenayah tersebut merasakan mangsa mula mempercayai dan jatuh cinta kepadanya, mereka akan menjalinkan hubungan rapat dan mesra sehingga mangsa sanggup memberikan gambar dan video yang tidak senonoh.

    Apabila tiba masanya, penjenayah akan mengambil tindakan untuk ugut mangsanya supaya membuat pembayaran dalam tempoh yang dikehendaki dan jika gagal maka kemungkinan besar segala gambar dan video tersebut akan ditularkan dan perbuatan ini dikenali sebagai blackmail.

    Tiada siapa yang ingin menjadi mangsa namun jika terjebak, maka kita perlu melakukan beberapa perkara berikut dengan segera mungkin. Dalam hal ini, CSB menyatakan bahawa jangan sesekali mengikut arahan yang diberikan oleh si penjenayah, dengan erti kata lain, jangan membayar wang mahupun berkongsi gambar baharu dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih teruk lagi. Namun sekiranya mangsa telah membuat pembayaran sebelumnya, maka langkah terbaik adalah segera melapor kepada pihak bank atau membatalkan pembayaran wang.

    Penting untuk menghentikan segera semua komunikasi dan laporkan akaun si pemangsa kepada media sosial yang digunakan serta sekat akaun tersebut. Begitu juga, menyahaktifkan (tetapi jangan dihapus) mana-mana akaun yang digunakan untuk berkomunikasi dengan individu tersebut.

    CSB turut menyarankan kepada mangsa supaya melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa iaitu polis dengan segera. Sekiranya mangsa adalah individu di bawah umur, mangsa adalah digalakkan untuk memberitahu dan memaklumkan kepada orang dewasa yang dapat dipercayai seperti ibu bapa atau adik-beradik yang mereka rasa selesa untuk dibawa berbincang dan mampu menolong bagi melaporkan kepada pihak berkuasa.

    Begitu juga, mangsa diingatkan agar menyimpan tangkapan skrin dan segala maklumat yang berkaitan untuk tujuan bukti. Simpan maklumat seperti nama pengguna, maklumat akaun media sosial, salinan komunikasi serta gambar mahupun video yang dihantar.

    Selain itu, CSB turut berkongsi beberapa langkah yang perlu diambil untuk memastikan pengguna media sosial selamat daripada peras ugut seksual dalam talian, antaranya jangan sesekali menerima friend request daripada orang yang tidak dikenali dan sentiasa beringat bahawa sesiapa sahaja boleh berpura-pura menjadi orang lain dalam talian.

    Selain itu, orang ramai juga perlu mengelak daripada membuka lampiran daripada orang yang tidak dikenali, begitu juga menghantar gambar peribadi kepada mereka.

    Orang ramai juga digalakkan untuk sentiasa berusaha menjauhi komputer daripada penggodam iaitu dengan memasang dan mengemaskini perisian antivirus dan teknologi anti-spyware dan juga sistem operasi komputer.

    Di samping itu, orang ramai juga disarankan menutup peranti elektronik dan kamera web apabila tidak digunakan, begitu juga memastikan tetapan privasi aplikasi dan laman sosial diatur ke tahap paling ketat.

    Dalam sama-sama menangani masalah ini, para ibu bapa juga haruslah memainkan peranan mereka dengan sentiasa memantau media elektronik dan perisian yang dimuat turun oleh anak-anak mereka.

    Lebih baik lagi sekiranya ibu bapa, penjaga mahupun pendidik membincangkan pengetahuan keselamatan apabila melayari Internet bersama anak-anak dan para murid mereka di mana mereka harus menegaskan bahawa anak-anak dan para murid patut memberitahu orang dewasa jika ada orang yang mengancam atau meminta mereka untuk melakukan aksi-aksi yang tidak senonoh atau tidak bermoral.

    Dalam era teknologi maklumat ini, lidah tidak lagi menjadi satu-satunya alat utama komunikasi kerana setiap informasi boleh disampaikan dengan sekelip mata hanya dengan jentikan jari pada papan kekunci komputer, telefon bimbit atau pelbagai alat teknologi yang lain.

    Hal ini menjadikan anggota jari kita beriringan dengan lidah, mula memainkan peranan bagi berkata-kata, manakala anggota mata pula sudah mula beriringan dengan telinga, berperanan untuk mendengar.

    Penipuan Internet bukanlah sesuatu yang asing lagi. Jenayah yang tidak mengenal usia ini mempunyai pelbagai jenis taktik untuk memperdaya mangsa sehingga terjadinya peras ugut seksual dalam talian.

    Oleh itu, masyarakat tidak kira golongan muda mahupun dewasa sehingga warga emas perlu sentiasa peka dalam menangani isu ini agar bersama melin-dungi diri dan ahli keluarga serta insan-insan di sekeliling kita daripada menjadi mangsa penipuan siber.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...