Elak virus, orang utan dikembalikan ke habitat asal

JAKARTA, 23 FEB – Bimbang dijangkiti COVID-19, sebuah pertubuhan di Indonesia hari ini mengembalikan 10 ekor orang utan ke habitat asalnya di kepulauan Borneo.

Haiwan terbabit dihantar menggunakan helikopter bagi mengelak ia terdedah dengan jangkitan virus jika dihantar melalui jalan darat atau laut.

Borneo Orangutan Survival Foundation (BOSF) menghantar haiwan yang mempunyai persamaan kira-kira 97 peratus DNA dengan manusia itu bagi melindunginya daripada virus.

Ketua Eksekutif BOSF, Jamartin Shite, berkata pandemik yang menjadi ancaman ketika ini menyukarkan usaha melindungi haiwan berkenaan.

“Sepanjang tahun kita tidak boleh membebaskan haiwan terbabit ke habitat asalnya kerana bimbang dengan penularan wabak ini.

“Kami melaksanakan protokol kesihatan yang ketat serta pelan mitigasi jika orang utan ini dijangkiti COVID-19.

“Penggunaan helikopter berupaya mengurangkan risiko penularan COVID-19,” katanya.

Haiwan terbabit disuntik dengan ubat penenang sebelum penerbangan serta ditempatkan dalam kurungan khas. Sebaik helikopter mendarat, haiwan berkenaan dibawa menaiki bot dan dihantar ke Hutan Perlindungan Bukit Batikap di tengah Kalimantan. Beberapa orang utan turut dilepaskan di hutan lain di timur Kalimantan. – AFP

Warga BOSF mengendalikan kurungan berisi orang utan, lengkap berpakaian PPE bagi mengelak orang utan dijangkiti virus. – AFP