Elaun RM1.05 juta untuk 2,425 peneroka di Sabah

KOTA KINABALU, 6 MEI – Kerajaan Sabah melalui Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) hari ini menyampaikan bayaran dividen dan elaun sara hidup berjumlah RM1.05 juta kepada 2,425 penerima di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, 1,533 penerima adalah ketua isi rumah peserta projek sosioekonomi di bawah LKTNS dan 892 lagi penerima adalah peneroka Skim-skim Rancangan Peneroka LKTNS.

“Selain itu, LKTNS turut menyumbangkan RM112,830 untuk tujuan bantuan makanan kepada masyarakat peneroka yang turut terjejas akibat penularan wabak COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas gimik penyerahan dividen dan sumbangan berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar LKTNS, Syaheddrul R Joddari dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan tertinggi LKTNS.

Mengulas mengenai kebenaran empat orang dalam satu kenderaan bagi keluarga tinggal serumah yang dikeluarkan polis Sabah hari ini, Mohd Shafie berkata ia terpulang kepada pihak polis untuk mengeluarkan arahan berkenaan.

“Namun, saya telah mengarahkan agar pihak polis memperketatkan kawalan di kawasan yang mempunyai rekod kawasan zon merah,” katanya.

Mengenai pembukaan sektor ekonomi di negeri ini, beliau berkata persediaan akan dilakukan sehingga 12 Mei ini. – Bernama

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan sidang media selepas penyampaian sumbangan COVID-19 daripada LKTNS di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS), kelmarin. – Bernama