Thursday, October 10, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elemen Hollywood disuntik dalam ALF 2

    SELEPAS kejayaan Abang Long Fadil pada 2014, pengarah muda berbakat besar, Syafiq Yusof kembali membawakan sekuel watak yang diangkat daripada filem KL Gangster, Abang Long Fadil 2 (ALF2).

    Menariknya, filem bakal menemui penonton pada 24 Ogos ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Achey (Bochey), Shuib (Sepahtu), A Galak, Wak Doyok, Tania Hudson dan masih mengekalkan Zizan Razak sebagai teraju utama.

    Bercerita lanjut mengenai filem terbarunya ini, Syafiq menyifatkan, dia mendapat lebih kepuasan selepas menyiapkan ALF2 berbanding sebelum ini.

    Dia juga menyuntik lebih teknik CGI (Computer Generated Image) termasuk menambah baik kemunculan Transformer.

    “Kalau dalam filem pertama saya akui CGI kami masih lemah dan tak nampak realistik, tapi untuk filem kedua, saya rasa lebih baik.

    Syafiq Yusof turut memuatkan elemen Hollywood dalam filem Abang Long Fadil 2 (ALF2).

    “Buktinya, ramai yang ingat elemen CGI hanya ada pada bahagian akhir filem melibatkan babak Transformer, tapi sebenarnya dari awal lagi dan ada beberapa babak aksi saya sunting untuk gantikan muka stuntman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Memilih untuk memasukkan babak Transformer  kali ini seperti filem pertama, Syafiq menjelaskan ia adalah kepuasan sendiri di samping memberi sesuatu yang berbeza untuk penonton.

    “Tak dapat dinafikan, penonton kita tak bagi peluang pada filem Malaysia. Kalau nak buat macam Hollywood, baik buat betul-betul.

    “Sebab itu saya berusaha tampilkan sesuatu yang berbeza, walaupun susah dan bajet terhad,” katanya yang memasukkan 40 peratus teknik CGI di dalam filem ini.

    Ditanya antara cabaran lain dalam menyiapkan filem ini, Syafiq berkata, babak melibatkan kebakaran memberi kenangan yang sukar dilupakan.

    “Ada satu babak melibatkan orang terbakar, kita terpaksa beberapa kali ambil babak itu kerana ada masa hanya kaki terbakar, lepas itu badan, tapi bila dapat terbakar satu badan, dengan stuntman itu sendiri terbakar.

    “Mujur dia tak cedera teruk. Begitu juga dengan satu babak melibatkan kereta meletup. Stuntman tu nak baling api bagi bakar kereta. Tapi api itu sambar muka dia.

    “Memang macam-macam hal tapi ia bagi pengalaman buat kami semua,” jelasnya.

    Sementara itu, Datuk Yusof Haslam yang ditemui pada malam tayangan ALF2, menyatakan rasa bangga dengan hasil kerja anaknya itu.

    “Ketika dia menjalani penggambaran, saya ada marah dia dan tanya dia kenapa filem ini makan masa untuk diselesaikan.

    “Tapi bila lihat hasilnya, saya dah faham. Sebagai ayah, saya rasa bangga. Walaupun dia perlu berkorban masa dan terpaksa siapkan dengan bajet terhad, tapi dia mampu buat yang terbaik.

    “Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Astro Shaw juga sebab membantu suntik modal bagi Syafiq menyelesaikan kesan CGI di dalam filem ini,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda