KUALA LUMPUR – Penyanyi, Sufian Suhaimi, mendapat kejutan manis sempena hari lahirnya yang ke-25, apabila diajak menaiki helikopter oleh pelakon yang hangat digosipkan dengannya ketika ini, Elfira Loy.
Bermula dengan sarapan pagi menikmati nasi lemak di sebuah lokasi di ibu kota, akhirnya Elfira ‘memperdayakan’ penyanyi Terakhir itu menaiki helikopter dengannya kira-kira 20 minit.
Kemudian Elfira mengajak Sufian menemaninya ke The Shorea, Seremban, Negeri Sembilan, kononnya beliau mempunyai sesi fotografi Hari Raya di sana.
Sesi fotografi terbabit sebenarnya ialah acara sambutan hari lahir kejutan buat Sufian yang dihadiri insan rapat dengan penyanyi muda berkenaan.
“Alhamdulillah, saya berjaya juga ‘mengenakan’ dia (Sufian). Susah juga sebenarnya hendak mengumpulkan insan rapat dalam hidupnya di The Shorea ini. Maklumlah, kebanyakannya bukan daripada ibu kota. Pada majlis itu, ada teman pengajiannya dari Terengganu dan Johor. Selain mereka, majlis turut dihadiri adik-beradiknya,” kata Elfira, 23, sambil memberitahu, acara itu dihadiri kira-kira 20 tetamu.

Sementara itu, diusik pertanyaan mengenai status pemuda terbabit di hatinya, Elfira yang mula akrab dengan Sufian sejak dua bulan lalu, menganggap penyanyi lelaki berkenaan cukup istimewa.
“Apa yang boleh saya cakap, dia memang istimewa. Ketika ini, dia antara lelaki yang rapat dengan saya. Dia datang dalam hidup saya dengan cara baik. “Saya dan dirinya cuba menikmati detik ini sebaik mungkin. Cuma, kalau ditanya lebih-lebih, memang tak timbul soal kami cuba menutup sesuatu cerita atau sebaliknya. Kami hanya mengikut aliran rentak masa. Apa yang saya lakukan kepadanya hari ini juga kerana dia seorang yang sangat baik,” kata Elfira.
Sufian pula dalam kenyataannya menganggap gadis berkening lebat itu cukup rapat dengannya. Cuma, katanya, untuk melabelkan hubungan itu sebagai percintaan, ia sesuatu yang tampak terlalu serius.
“Jika kami sudah bertunang atau merancang ke arah yang lebih serius, pasti (ia) akan dikongsi. Cuma, hingga kini kami belum ada perancangan ke arah itu,” katanya.
Mengenai kejutan menaiki helikopter, bermula dari Titiwangsa seterusnya menikmati pemandangan ibu kota, Sufian memberitahu, ‘hadiah’ daripada temannya itu sesuatu yang cukup bermakna.