Elizad sedia jalani rawatan kesuburan

Pelakon, Siti Elizad, 36, sudah bersedia menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) pada Oktober depan.

Penyampai radio Sinar FM itu berkongsi berita mengenai rawatan yang bakal dilakukan menerusi Instagram, semalam.

Elizad atau nama sebenarnya, Siti Elizad Mohamad Sharifuddin berkata, dia sepatutnya sudah melakukan rawatan kesuburan awal lagi, tetapi terikat dengan penggambaran drama bersiri.

“Saya terpaksa menunda rawatan kesuburan yang dirancang berikutan terikat dengan penggambaran drama ‘Jalan Sesat Ke Syurga’. Drama arahan Osman Ali itu tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tak mahu tangguh lagi. Sebaik penggambaran selesai, saya ingin meneruskan hasrat ini. Jujurnya, gementar juga ketika melalui proses rawatan kesuburan, tetapi saya tetap mahu berusaha.

Siti Elizad dan suaminya, Shamsul Baharin Abdul Rahman sudah lebih lima tahun menanti kehadiran cahaya mata. – Agensi

“Keinginan memiliki cahaya mata sendiri sudah sekian lama terpendam. Namun, Allah uji saya tiada rezeki lagi,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang menempa nama menerusi drama ‘Teman Lelaki Upahan’ dan ‘Aku Yang Kau Tinggalkan’ itu berkata, doktor tidak membenarkannya melakukan kerja berat dan pulang lewat malam.

“Saya kena sentiasa dalam keadaan gembira dan tiada tekanan. Saya masih meneruskan rutin kerja di stesen radio.

“Kerja sebagai penyampai radio tiada tekanan dan lebih banyak duduk. Saya terpaksa tolak dahulu watak berat dan beremosi.

“Aktiviti menunggang motosikal berkuasa besar dilupakan seketika selepas rawatan bermula, dalam dua minggu lagi.

“Dalam tempoh ini, saya masih boleh berjalan cuma tak boleh buat kerja berat. Sekarang, saya sudah makan ubat yang disyorkan dan menanti perkembangan rawatan ini selanjutnya,” katanya yang sudah lebih lima tahun mendirikan rumah tangga dengan Shamsul Baharin Abdul Rahman pada Januari 2015. – Agensi