Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Seorang penderma darah mampu untuk menyelamatkan tiga nyawa dan mereka juga mampu memberikan hadiah yang terbaik kepada seseorang iaitu hadiah kehidupan.
Setiap hari kira-kira 50 pain darah diperlukan oleh para pesakit di Negara Brunei Darussalam, jelas Ketua Penyelia Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Haji Matusop bin Haji Daud semasa Kempen Derma Darah Elken yang diadakan di cawangan Elken Brunei, Kiulap, hari ini.
Beliau amat mengalu-alukan usaha pihak swasta yang bekerjasama dengan Pusat Pendermaan Darah dalam usaha untuk mendapatkan lebih ramai penderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan.
Haji Matusop menyatakan penghargaan kepada pihak Elken Brunei yang telah mengadakan kempen derma darah yang sudah mencapai kali keenam di Brunei.
Katanya lagi, sambutan orang ramai semasa kempen itu amat menggalakkan dan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk sama-sama menghulurkan bantuan menerusi menderma darah.


Pada masa yang sama, beliau berharap lebih ramai orang khususnya penderma darah baru untuk tampil ke hadapan dan menyumbangkan bakti kepada masyarakat dengan menderma darah kerana mereka mampu untuk menyelamatkan nyawa orang yang memerlukan darah.
Manakala itu, Pengerusi Kempen Derma Darah Elken Brunei, Awang Alfian bin Haji Maskur berkata, kempen yang diadakan oleh Elken Brunei itu merupakan salah satu acara kemasyarakatan dan kebajikan yang amat penting di mana ia bukan sahaja diadakan di Brunei tetapi juga di Malaysia dan Singapura.
Beliau berkata kempen itu terus mendapat sambutan daripada penderma darah di mana mereka tampil ke hadapan dalam sama-sama membantu mereka yang memerlukan bantuan khususnya darah.
Beliau berkata kempen itu dilaksanakan bersama oleh Elken dengan Pusat Pendermaan Darah dan setiap tahun jumlah penderma yang hadir adalah amat menggalakkan.
Beliau juga berkata bahawa untuk menyebarkan maklumat mengenai kempen berkenaan, pihaknya bukan sahaja menghulurkan risalah mengenai kempen itu tetapi juga menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat mengenai kempen berkenaan.