Saturday, January 25, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Elon Musk bakal rasmikan Tesla ‘buatan Jerman’

    BERLIN, 22 MAC – Perintis kereta elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla, hari ini akan merasmikan ‘kilang giga’ baharu berhampiran Berlin, dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk akan terbang untuk mempersembahkan kenderaan Model Y buatan Eropah kepada pelanggan.

    “Teruja untuk mempersembahkan keluaran kereta pertama oleh Giga Berlin-Brandenburg esok!” tulis Musk melalui Twitter pada malam sebelum upacara perasmian.

    Tesla sebelum ini berdepan dengan masalah pentadbiran dan undang-undang semasa proses kelulusan dan pembinaan, termasuk aduan daripada penduduk tempatan mengenai impak alam sekitar di atas tapak tersebut.

    Tesla akhirnya diberikan kebenaran secara rasmi oleh pihak berkuasa wilayah untuk memulakan pengeluaran pada awal bulan ini.

    ‘Kilang giga’ di Gruenheide, di wilayah timur Jerman, Brandenburg, adalah tapak pengeluaran pertama Tesla di Eropah, dan pegawai tempatan berharap ia akan membantu menempatkan wilayah itu sebagai hab penghasilan kenderaan elektrik.

    Tapak pembinaan ‘kilang giga’ baharu Tesla untuk kenderaan elektrik di Gruenheide berhampiran Berlin, Jerman Z. – AP

    Tesla menyasarkan untuk mengambil kira-kira 12,000 orang pekerja di tapak yang akan mengeluarkan kira-kira 500,000 buah kereta Model Y setiap tahun.

    Sebanyak 30 buah SUV kompak elektrik yang pertama untuk pemasangan akan dihantar kepada pelanggan semasa majlis pada hari ini.

    Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Menteri Ekonomi, Robert Habeck akan turut menghadiri majlis tersebut.

    Kehadiran Tesla berkemungkinan akan menggoncangkan industri automatif mewah, memberikan saingan sengit kepada Volkswagen, BMW dan Mercedes-Benz ketika mereka beralih daripada enjin tradisional kepada kenderaan elektrik yang lebih bersih.

    Tumpuan Tesla terhadap Eropah dibuat ketika benua itu bergelut dengan kos tenaga yang melambung tinggi disebabkan oleh harga petrol yang melonjak, membuatkan pemandu untuk mencari alternatif lain. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda