EMA: vaksin mungkin tersedia dalam setahun

THE HAGUE, 14 MEI – Vaksin COVID-19 mungkin akan tersedia dalam tempoh setahun berdasarkan senario optimistik dan data daripada ujian yang sedang dijalankan, menurut Agensi Perubatan Eropah (EMA) hari ini.

Ketua Strategi Ancaman Kesihatan Biologi dan Vaksin EMA, Marco Cavaleri, berkata vaksin itu tersedia sekiranya apa yang dirancang berjalan lancar.

“Kita boleh melihat kemungkinan jika semuanya berjalan seperti dirancang bahawa beberapa vaksin akan tersedia untuk diluluskan dalam tempoh setahun dari sekarang.

“Ini hanya ramalan bersandarkan daripada apa yang kita lihat. Tetapi sekali lagi apa yang saya perlu tekankan adalah ia mengikut senario terbaik, lagi pun kita tahu semua vaksin yang sedang dibangunkan mungkin tidak berjaya diluluskan dan hilang.

“Kita juga tahu ia juga akan berdepan kelewatan,” katanya dalam telesidang.

Agensi berkenaan bagaimanapun agak skeptikal mengenai laporan bahawa satu vaksin akan dikeluarkan pada September depan.

Sementara itu, agensi Kesatuan Eropah (EU) yang berpusat di Amsterdam, Belanda memandang ringan kebimbangan yang dizahirkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak virus mungkin tidak akan terus hilang.

“Saya berpendapat masih terlalu awal untuk berkata sedemikian namun kita perlu ada alasan baik untuk cukup optimis bahawa beberapa vaksin akan berjaya dibangunkan.

“Saya mungkin terkejut sekiranya kita tidak menemui vaksin untuk merawat COVID-19 pada akhirnya,” kata Cavaleri. – AFP