Oleh Ruzaini Haji Daud
BARISAN pemimpin Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara atau ASEAN telah lama menyedari mengenai pentingnya untuk mengiktiraf dan mengesahkan penglibatan kaum wanita dalam pembangunan negara. Justeru negara-negara anggota telah berganding bahu untuk berusaha mendukung bagi mempromosikan dan meningkatkan status dan peranan wanita dalam peringkat serantau dan antarabangsa bagi sama-sama memastikan kemajuan wanita ASEAN yang berterusan bergerak seiring peredaran masa.
Usaha untuk menumpukan mengenai kepentingan isu wanita di kalangan rantau ASEAN telah dimulakan sewaktu Persidangan Pemimpin Wanita ASEAN pada tahun 1975. Dari situ, Jawatankuasa Kecil Wanita ASEAN (ASW) mula ditubuhkan pada tahun 1976 dan telah ditukar nama kepada Program Wanita ASEAN (AWP) pada tahun 1981.
Bagi memberikan dorongan dan kerjasama beterusan mengenai isu-isu wanita ASEAN, badan sektor tersebut telah disusun semula dalam membentuk Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Wanita (AMMW) pada tahun 2002 di mana ia berperanan untuk melaksanakan penyelarasan dan pemantauan berhubung menegenai keutamaan terhadap isu wanita di rantau ASEAN yang diadakan secara tahunan.
Pengiktirafan wanita ASEAN dan komitmen untuk terus meningkatkan kemajuan wanita jelas terpancar di dalam Deklarasi Pembangunan Wanita dalam ASEAN yang telah diterima pakai oleh Menteri-menteri Luar ASEAN pada tahun 1988.
Sementara Deklarasi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di rantau ASEAN yang diterima pakai oleh Menteri-menteri Luar ASEAN pada tahun 2004 di mana ia adalah deklarasi kedua bagi mengiktiraf kepentingan perbincangan mengenai isu wanita. Ia juga sekaligus menandakan bahawa sepuluh negara anggota ASEAN begitu komited untuk memperjuangkan hak wanita di peringkat serantau.



Kesaksamaan hak dan peranan wanita ASEAN
Peranan kaum wanita tidak hanya terhad kepada melahirkan anak, menjaga dan membesarkan anak-anak tetapi kaum wanita juga sama-sama membanting tulang dengan kaum lelaki dalam memperkasa keluarganya dan berganding bahu bagi menjadi aset dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sesebuah negara.
Kesaksamaan hak dan peranan, penindasan dan pengabaian seringkali menjadi antara isu dan cabaran yang dihadapi oleh kaum wanita di seluruh dunia termasuk di rantau ASEAN.
Menyedari akan pentingnya peranan wanita dalam pembangunan dan kemajuan di negara-negara ASEAN, Suruhanjaya ASEAN mengenai Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak telah ditubuhkan pada tahun 2010 bagi melindungi hak asasi dan menggalakkan penglibatan wanita dan kanak-kanak di ASEAN
Di samping itu, ia juga berperanan untuk membela perjuangan para wanita ASEAN, meningkatkan kesedaran awam dan mendorong peningkatan tahap pendidikan di kalangan wanita dan kanak-kanak, menggalakkan negara anggota ASEAN untuk mengumpul dan menganalisis data mengikut pecahan gender sekaligus melakukan kajian bagi mencari penyelesaian berhubung mengenai isu wanita dan kanak-kanak.
Ia juga mendorong penglibatan kaum wanita ASEAN untuk sama-sama menyertai dialog dan konsultasi khususnya berhubung mengenai perlindungan dan meningkatkan peranan para wanita tanpa mengira status iaitu berkahwin, ibu tunggal ataupun balu agar barisan wanita ASEAN akan lebih berkeyakinan, bertindak lebih berani dalam melakukan perubahan diri sehingga terus berjaya ke hadapan.
Promosi dan Perlindungan Hak Asasi Wanita dan Kanak-kanak juga berusaha untuk cuba mengharmonikan undang-undang di seluruh ASEAN bagi menentang keganasan domestik dan menghapuskan pemerdagangan manusia terutama di kalangan kanak-kanak perempuan dan wanita.
Kepentingan pendidikan naik taraf status wanita
Anggota ASEAN juga giat menyeru agar penduduk-penduduk di negara-negara anggotanya untuk terus maju meningkatkan dan menaiktarafkan pendidikan tidak kira bagi lelaki dan perempuan di mana ia adalah menjadi asas kejayaan dalam kehidupan khususnya di era globalisasi ini.


Perkara ini jelas dapat dilihat apabila kadar pendidikan bagi pelajar-pelajar perempuan di negara-negara anggota ASEAN sebagamana yang tercatat di dalam Laporan Ekonomi Global yang meningkat dari setahun ke setahun.
Malah kemudahan termasuk biasiswa, pengangkutan, sistem pinjaman kewangan juga turut disediakan dari peringkat rendah hingga universiti mengikut sistem perundangan setiap negara anggota ASEAN di mana ia adalah berperanan untuk mendorong agar kanak-kanak termasuk kanak-kanak perempuan dapat mengikuti pendidikan yang menjadi asas dalam menjadikan mereka sebagai wanita yang berjaya sekaligus menjadi aset kebanggan negara.
Justeru ia dapat melahirkan srikandi-srikandi negara yang berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perubatan, ekonomi, perniagaan, teknologi dan lain-lain di samping tugas sebagai isteri dan ibu dalam institusi keluarga.
Rentetan kejayaan wanita ASEAN
Selaras dengan kemajuan era globalisasi ini, wanita ASEAN juga semakin berani untuk mengorak langkah dalam menceburi pelbagai bidang.
Tiga juruterbang Muslimah berhjab dari Negara Brunei Darussalam yang terdiri dari Kapten Sharifah Czarena Surainy, Pegawai Kanan Pertama, Dayangku Nadiah Pengiran Khashiem dan Pegawai Kanan Pertama, Sariana Nordin telah berjaya mengendalikan pesawat BI081 ke Jeddah pada 23 Februari 2016.
Perkara tersebut sekaligus telah berjaya membuktikan bahawa wanita ASEAN juga berani untuk melibatkan diri dalam kerjaya mencabar sekaligus memecahkan tanggapan bahawa kerjaya sebagai juruterbang adalah kerjaya yang didominasi oleh kaum lelaki,
Selaku pelopor dalam hampir semua pencapaian aeroangkasa di Malaysia, kecemerlangan dan kehebatan Datuk Dr Mazlan Othman jelas sukar ditandingi, bukan sahaja dalam kalangan wanita tetapi juga lelaki.
Pelantikan beliau sebagai Pengarah Projek Sains Mega 3.0 di Akademi Sains Malaysia telah memberikan mandat kepada beliau mengetuai projek Sains Mega 3.0 yang bertujuan menyediakan Malaysia untuk masa depan bidang sains, teknologi dan inovasi.



Malah beliau juga pernah diangkat sebagai Ketua Pengarah Pengasas Negara Agensi Angkasa (ANGKASA) sekaligus program itu memberikan peluang untuk menyaksikan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa pada tahun 2007.
Berusia 28 tahun dan bekerjaya sebagai pelakon dan pengacara terkenal Malaysia, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor juga masih memiliki kesempatan untuk menjalankan beberapa perniagaan termasuk jenama pakaian wanita Muslimah, ‘Naelofar Hijab’.
Kejayaan membanggakan yang berjaya di capai oleh pengasas dan pengarah NH Prima International Sdn Bhd, itu secara tidak langsung telah melayakkan dirinya tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.
Fesyen memang sinonim dengan diri wanita yang sangat suka bergaya dan kelihatan cantik. Menyedari akan perkara tersebut, Anniesa Hasibuan dari Indonesia yang baru mengorak langkah dalam dunia seni rekaan busana pada tahun 2015 telah mengambil inisiatif untuk mereka pelbagai jenis fesyen busana Muslimah.
Keindahan rekaan yang beliau hasilkan telah berjaya membuka mata dunia dan mengangkat kebolehan wanita ASEAN apabila menjadi wanita pertama yang berjaya menghantar dan memperagakan rekaan pakaiannya dalam busana hijab di pentas peragaan terkemuka dunia, New York Fashion Week pada tahun 2016 dan 2017.
Walaupun kecantikan paras rupa bukan ukuran dalam kejayaan seseorang wanita namun ternyata kejelitaan paras rupa dan kepintaran Pia Alonzo Wurtzbach dari Filipina berjaya membuka mata dunia apabila dinobatkan sebagai Miss Universe 2015.
Kemenangan yang sangat membanggakan itu setentunya menaiktarafkan lagi status wanita ASEAN yang diberi peluang untuk menggalas tugas sebagai aktivis dan modal insan selaras menandingi kehebatan para wanita di seluruh dunia.
Justeru bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan ASEAN pada tahun ini, wanita-wanita ASEAN harus terus berfikiran aktif untuk lebih berani dalam menceburi pelbagai bidang sekaligus menjadi aset dalam memajukan perkembangan dan pembangunan negara.