Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Emas pertama buat Nurul Farhah

    KUALA LUMPUR, 3 NOV – Mengubah taraf hidup keluarga antara matlamat utama atlet para Kedah Nurul Farhah Natasya Che Wan mengorbankan zaman mudanya dengan bertungkus lumus berusaha mencipta nama dalam arena olahraga.

    Selepas lima tahun berusaha, hari ini, segala pengorbanan atlet berusia 17 tahun itu mula membuahkan hasil setelah beliau merangkul pingat emas pertamanya pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, di sini.

    Biarpun edisi kali ini, penampilan sulungnya, namun atlet kelahiran Langkawi itu tidak berdepan masalah mempamerkan aksi terbaik untuk mengungguli acara Lompat Jauh Wanita F12 (masalah penglihatan) dengan catatan 4.35 meter (m).

    “Kehidupan keluarga saya tidak senang, saya tidak begitu bagus dalam pelajaran, jadi yang saya bagus adalah dalam sukan. Matlamat utama saya nak wakil Malaysia dan mengubah nasib keluarga. 

    “Saya nak belikan rumah, kereta dan beri duit kepada ibu dan bapa saya. Saya sayangkan mereka. Demi kejayaan saya sanggup buat apa saja,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui Bernama selepas majlis penyampaian pingat di sini, hari ini.

    Aksi atlet para Kedah Nurul Farhah Natasya Che Wan ketika dalam saingan olahraga Para Sukma 2022, kelmarin. – Bernama

    Pingat emas yang diraihnya itu juga merupakan emas pembuka tirai saingan olahraga Para Sukma 2022.

    Sementara itu, jurulatihnya Mohd Fahmi Adnan berkata anak bongsu daripada enam beradik itu merupakan seorang atlet yang amat berdisiplin dan dibuktikan apabila tidak pernah sekali ponteng sesi latihan sepanjang lima tahun di bawah bimbingannya.

    “Dalam lima tahun, sehari pun tak pernah ponteng, dia atlet yang tak pernah kata tidak, dia seorang yang taat.

    “Baru-baru ini pun pada KOPK (Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas) peringkat kebangsaan dia dipilih sebagai atlet terbaik kategori penglihatan,” katanya.

    Menurut Mohd Fahmi, sasaran hari ini adalah memecahkan rekod kejohanan 4.38m, namun permukaan trek yang licin memberikan kesukaran buat anak buahnya yang memiliki catatan terbaik peribadi 4.40m.

    Beliau berharap pencapaian Nurul Farhah dapat menarik perhatian MSN untuk menyerapnya menyertai kem kebangsaan bagi membantu mengembangkan lagi bakat yang dimiliki menjelang temasya Sukan Para ASEAN 2023 di Kemboja dan Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China, tahun depan.

    Sementara itu, pingat perak acara itu dimenangi Solehah Muzdaliefah Mustafa dari Terengganu dengan catatan 3.63m, manakala atlet Johor Nur Arinah Nor Asibah meraih gangsa selepas mencipta 3.25m. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...