Emerson kuatkan kubu Lyon

LONDON, 20 OGOS – Pemain pertahanan Chelsea, Emerson Palmieri (gambar) akan menyertai pasukan Perancis, Lyon sebagai pemain pinjaman untuk baki musim ini, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam.

Pemain antarabangsa Itali kelahiran Brazil berusia 27 tahun itu yang beraksi di posisi pertahanan kiri atau sayap belakang menyertai Blues dari Roma pada Januari 2018.

Emerson adalah antara pemain dalam skuad Itali yang memenangi Euro 2020, membuat 71 penampilan bersama Chelsea dan diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan pembukaan EPL menentang Crystal Palace.

Ketika dia bersama Stamford Bridge, Emerson menjaringkan gol terakhir yang tidak dapat dilupakan dalam aksi Liga Juara-Juara di peringkat 16 akhir menewaskan Atletico Madrid.

Sebelum itu, dia menjadi watak utama dengan melakukan assist kepada Olivier Giroud pada final Liga Europa pada 2018/19 yang menyaksikan Chelsea menewaskan Arsenal 4-1.

Emerson membuat empat penampilan di Euro 2020, 19 penampilan terakhirnya bersama Azzurri yang menewaskan England di final dalam penentuan penalti di Wembley.

Dia kini akan menghabiskan musim ini bersama Lyon yang mengutip satu mata daripada dua perlawanan liga dan akan beraksi di Liga Europa. – AFP