LONDON, 31 Mac – Unai Emery mencabar Denis Suarez membuktikan kemampuannya dalam usaha Arsenal merampas kembali kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris dalam pertemuan dengan Newcastle awal pagi Selasa ini.
Suarez bergelut sejak perpindahan secara pinjaman pada Januari dari Barcelona dan pemain tengah Sepanyol itu masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama Arsenal pada perlawanan kompetitif.
Tetapi siri persembahan cemerlang di kem latihan di Dubai baru-baru ini memberikan peluang buat pemain berusia 25 tahun itu untuk menyerlah apabila Newcastle berkunjung ke Stadium Emirates.
Surez bermain 90 minit penuh dan mengumpan gol untuk Carl Jenkinson dalam kemenangan 3-2 ke atas Al Nasr.
Dengan Granit Zhaka belum cergas sepenuhnya dan Lucas Torreira digantung perlawanan, bos Arsenal, Emery kagum dengan perkembangan Suarez yang hadir tepat pada masanya.
“Dia bersedia untuk kesebelasan utama, memberikan impak sebegini kepada kami,” kata Emery. “Kami memerlukan semua orang, setiap pemain untuk perlawanan seterusnya.
“Kami memutuskan untuk berlatih di luar dan bermain satu perlawanan di Dubai. Tetapi ideanya tetap sama, semangat yang sama.” – AFP





























