Emir Kuwait jalani rawatan di AS

BANDAR KUWAIT, 23 JULAI – Pemerintah Kuwait berusia 91 tahun, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah berlepas ke Amerika Syarikat (AS) hari ini untuk mendapatkan rawatan perubatan, kata pejabatnya, beberapa hari selepas beliau menjalani pembedahan untuk penyakit yang tidak dinyatakan.

Emir itu, yang telah memerintah negara Teluk sejak 2006, telah dimasukkan ke hospital sejak hujung minggu.

Sheikh Sabah ‘meninggalkan negara pada subuh hari ini untuk pergi ke AS untuk menamatkan rawatan perubatannya,” kata pejabat beliau dalam satu kenyataan yang dipetik oleh agensi berita KUNA.

Sebelum itu, ia berkata beliau akan mengadakan perjalanan ‘berdasarkan nasihat kumpulan perubatannya untuk menamatkan rawatan selepas satu pembedahan.”

Kenyataan tidak mendedahkan penyakit yang dihidapinya, jenis pembedahan yang dijalaninya di Kuwait, atau pun rawatan yang dirancang dijalankan di AS. Pada September 2019, beliau menjalani ujian perubatan sejurus selepas tiba di AS, mendorong pertemuan dengan Presiden Donald Trump dibatalkan.

Di bawah undang-undang Kuwait, apabila emir tidak hadir, putera mahkota Sheikh Nawaf al-Ahmad Al-Sabah, 83, adik tiri emir, dilantik sebagai pemangku pemerintah. – AFP