Emirates hentikan penerbangan ke tiga bandar utama Australia

SYDNEY, 17 JAN – Emirates telah menangguhkan penerbangan ke tiga bandar terbesar di Australia selepas negara itu terus mengehadkan ketibaan penumpang antarabangsa berikutan dengan kebimbangan penularan virus baharu.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu adalah salah satu yang terakhir mengekalkan laluan masuk dan keluar dari pantai timur negara itu sepanjang penularan COVID-19.

Pada Jumaat lalu, syarikat itu memberitahu pelancong bahawa beberapa penerbangan yang dirancang minggu depan adalah penerbangan yang terakhir.

“Berikutan atas sebab-sebab operasi, penerbangan Emirates ke/dari Sydney, Brisbane dan Melbourne akan ditangguhkan sehingga pengumuman kelak,” menurut Emirates di laman webnya.

Syarikat penerbangan itu bagaimanapun masih melakukan dua penerbangan seminggu ke Perth, tetapi penangguhan itu akan menjadi penghalang lain bagi puluhan ribu warga Australia yang terkandas dan kini berusaha untuk pulang.

Sebuah pesawat penerbangan Emirates dilihat berada di landasan Lapangan Terbang Dubai sebelum melakukan pelepasan. – AFP

Kerajaan Australia bertindak balas dengan mengumumkan lebih banyak penerbangan pulang dan mengatakan syarikat penerbangan lain yang masih melakukan penerbangan ke bandar-bandar dapat memenuhi permintaan ketika ini.

“Kapasiti daripada Emirates untuk membawa pulang penumpang akan digantikan syarikat penerbangan lain, memastikan bahawa masih ada banyak tiket, dan tempat duduk penumpang yang tersedia bagi penerbangan ke Australia,” kata Menteri Kewangan Simon Birmingham.

Sebilangan kecil syarikat penerbangan – termasuk Qatar Airways dan Singapore Airlines – masih melakukan penerbangan ke Australia tetapi media tempatan sudah melaporkan kelewatan dan pembatalan dalam kalangan pelancong yang ingin pulang ke Australia.

Sempadan Australia secara efektif ditutup sejak bulan Mac untuk mengekang penyebaran virus tersebut, dengan kerajaan telah mengehadkan jumlah warganegara yang dibenarkan untuk pulang.

Sekatan perjalanan minggu lalu diperketat lagi, dengan jumlah kedatangan dikurangkan dan semua pelancong ke negara ini dimestikan diuji negatif COVID-19 sebelum melakukan penerbangan. – AFP