‘Emma’ cari jodoh di Jepun

TOKYO, 10 JUN – Seperti kebanyakan daripada kita, rancangan ‘Emma’ untuk membuat perjalanan ke luar negara terbantut kerana koronavirus. Namun selepas berbulan-bulan tertangguh, badak putih itu tiba di Jepun dan kini mencari pasangan.

Badak berusia lima tahun yang agak jinak itu datangnya dari Taman Safari Leofoo, Taiwan, di mana ia menewaskan badak lain untuk dipilih bagi mencari pasangan dan membiak.

Ia dijadualkan dipindahkan ke Zoo Saitama Tobu di pinggir Tokyo dalam Mac namun kerumitan disebabkan pandemik mengakibatkan pelepasannya tertunda.

“Selepas penangguhan disebabkan koronavirus, Emma, seekor badak putih selatan, tiba di zoo kami pada malam 8 Jun lalu,” kata zoo tersebut dalam satu kenyataan.

Menurut kakitangan safari, badak betina itu dipilih daripada kawanan 23 ekor badak kerana kejinakannya dan bentuk tubuhnya yang kecil.

“Emma dipilih kerana personaliti sederhananya dan saiznya yang kecil menjadikan ia lebih mudah dihantar ke luar negara,” kata ketua veterinar taman dan pengurus haiwan, Sean Wu memberitahu AFP awal tahun ini.

Badak itu dijangka dipamerkan kepada awam di Jepun dalam beberapa minggu lagi, namun yang pertama perlu dilakukannya ialah berkenalan dengan pasangan pertamanya, badak berusia 10 tahun, Moran. – AFP

Gambar fail 2 Mac menunjukkan Emma, badak betina berusia lima tahun yang tiba di Zoo Tobu, Jepun untuk mencari pasangan dan membiak. – AFP