Emma Raducanu lakar sejarah di Terbuka AS

NEW YORK, 12 SEPT – Pemain remaja Britain, Emma Raducanu melengkapkan gelaran ‘underdog’ terhebat dalam sejarah tenis semalam apabila menjadi pemain pertama kelayakan memenangi kejuaraan Grand Slam menerusi kemenangan straight set ke atas pemain Kanada, Leylah Fernandez pada final wanita Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Raducanu yang berusia 18 tahun menjadi wanita pertama British dalam tempoh 44 tahun memenangi mahkota Slam selepas menewaskan pemain berusia 19 tahun dan ranking 73 dunia, Leylah, 6-4, 6-3 untuk merangkul hadiah utama AS$2.1 juta.

“Saya tahu saya harus mempamerkan aksi terbaik. Ia sememangnya perlawanan yang sangat sukar tetapi saya fikir tahapnya sangat tinggi. Saya terpaksa bermain tenis terbaik saya,” kata Raducanu.

Ia adalah pencapaian menakjubkan buat pemain remaja yang menduduki ranking 150 dunia itu. Dia tidak tewas walaupun satu set dalam tiga perlawanan kelayakan dan tujuh perlawanan utama sejak dua minggu lalu dalam usia yang masih muda.

Raducanu adalah juara Slam termuda sejak Maria Sharapova berusia 17 tahun pada 2004 di Wimbledon.

Sejak Virginia Wade memenangi gelaran pada 1977 di Wimbledon sebagai pemain wanita British yang merangkul kejuaraan perseorangan Slam, Raducanu adalah pemain
Britain pertama merangkul kejuaraan Terbuka AS sejak Virginia meraihmya pada 1968.

Ratu Elizabeth II adalah antara individu pertama yang mengucapkan tahniah di atas kemenangan Raducanu.

“Ini adalah pencapaian yang luar biasa pada usia muda, dan bukti kerja keras dan dedikasi anda,” kata Ratu Elizabeth II dalam satu kenyataan.

Virginia dan pemain lelaki legenda Britain, Tim Henman adalah antara 23,700 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan final Grand Slam membabitkan pemain bukan pilihan.

“Ia sangat bermakna apabila Virginia dan Tim berada di sini dan mereka adalah ikon serta legenda Britain sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk mengikuti jejak mereka,” kata Raducanu.

Leylah yang akan menyambut hari lahir ke-19 esok menumpaskan juara bertahan, Naomi Osaka, pemain pilihan kedua Aryna Sabalenka, Elina Svitolina (pilihan kelima) dan juara tiga kali Grand Slam Angelique Kerber dalam laluan epiknya ke final. – AFP

Emma Raducanu meraikan trofi kejuaraan Terbuka AS setelah berjaya mengalahkan Leylah Fernandez pada perlawanan final perseorangan wanita kejuaraan tenis Terbuka AS, semalam, di New York. – AP